Bank Negara memberitahu, tiga perubahan dasar yang akan berkuatkuasa serta-merta ini adalah fleksibiliti yang lebih besar dalam pengurusan hasil eksport, perlindungan nilai yang fleksibel bagi obligasi mata wang asing dan akses yang lebih meluas ke pasaran kewangan dalam negara untuk bukan pemastautin.

Jelas bank pusat itu, bagi dasar fleksibiliti yang lebih besar dalam pengurusan hasil eksport, para pengeksport dibenarkan memasukkan hasil eksport mereka secara automatik ke dalam akaun semasa perdagangan asing dengan bank tempatan bagi memenuhi obligasi mata wang asing sehingga enam bulan tanpa perlu menukar dahulu hasil eksport berkenaan ke dalam ringgit.

“Fleksibiliti ini diberikan apabila pengeksport menyempurnakan obligasi mata wang asing enam bulan mereka dengan bank tempatan masing-masing,” jelas Bank Negara dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi dasar perlindungan nilai yang fleksibel bagi obligasi mata wang asing pula, Bank Negara memberitahu, fleksibiliti yang lebih besar diberi kepada pemastautin yang membuat permohonan kepada bank pusat untuk melindungi nilai obligasi mata wang asing melebihi enam bulan dan dedahan terhadap mata wang asing daripada invois yang dikeluarkan dalam mata wang asing di bawah amalan penetapan harga antarabangsa bagi perdagangan barangan dan perkhidmatan dalam negeri.

Kata Bank Negara, bagi akses yang lebih meluas ke pasaran kewangan dalam negeri untuk bukan pemastautin, syarikat bukan pemastautin dibenarkan untuk memperdagangkan derivatif kadar faedah berdenominasi ringgit melalui Pejabat Luar Negara Yang Dilantik (Appointed Overseas Offices, AOO), tertakluk kepada pengaturan nilai yang setara dalam dua mata wang dengan bank-bank tempatan.

“Hal ini bertujuan untuk mendalamkan pasaran derivatif kadar faedah dalam negeri bagi menyokong pengurusan risiko oleh sektor perniagaan,” ujar bank pusat berkenaan. - UTUSAN ONLINE