Malah, jelas Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi satu kenya­taan yang dipaparkan di laman sesawang Housing Watch hari ini, DSR yang dilaksanakan oleh institusi kewangan juga mengambil kira keadaan kewangan peminjam berdasarkan beberapa faktor.

“Ini termasuk pendapatan pemin­jam, kemampuan menunaikan obligasi pembayaran semula hutang sedia ada serta penampan lain yang mencukupi untuk menampung perbe­lanjaan asas atau sebarang kejadian di luar jangka,” kata bank pusat itu.

Menurut BNM, ia bagaimanapun tidak menetapkan paras DSR untuk penjawat awam.

Kenyataan bank pusat itu sebagai menjawab laporan media bertajuk Lending rules for housing may be relaxed but analysts are wary yang disiarkan pada 16 Jun 2018.

Setakat Mac 2018, sebanyak 72 peratus (atau menyamai kira-kira tiga daripada setiap empat) permohonan pinjaman perumahan telah diluluskan oleh pihak bank, kata bank pusat itu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 71 peratus membabitkan pembe­lian rumah mampu milik berharga kurang RM500,000.

BNM berkata, pihak bank juga mengambil kira kepelbagaian sumber pendapatan peminjam dalam membuat penilaian kelayakan dan kemampuan pinjaman, dengan syarat ia disokong oleh bukti dokumen seperti penyata bank, penyata komisien atau perjanjian sewa.

“Pihak bank juga lazimnya membenarkan pasangan atau ahli keluarga menjadi peminjam bersama pinjaman perumahan itu bagi meningkatkan lagi tahap kemampuan pemohon.

“Bank-bank utama yang mempraktikkan amalan itu adalah se­perti Maybank, CIMB, Public Bank, RHB, AmBank, Hong Leong Bank, Affin Bank dan Bank Islam,” katanya. – BERNAMA