Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, pembukaan cawangan baharu ke-147 itu adalah salah satu langkah memperluaskan rangkuman kewangannya kepada penduduk di negeri ini.


Menurutnya, pengembangan rangkaian cawangan itu juga merupakan salah satu strategik perniagaan Bank Islam untuk kekal relevan dalam persekitaran yang semakin mencabar.


“Cawangan terbaharu Bank Islam di Kodiang itu merupakan cawangan ke-12 di Kedah dan cawangan ke-27 di Wilayah Utara secara keseluruhannya,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Bank Islam cawangan Kodiang dekat sini hari ini. 


Majlis perasmian tersebut disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.


Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz.


Khairul memberitahu, cawangan Kodiang itu menyediakan kemudahan urusan perbankan yang sebelum ini hanya boleh dijalankan di cawangan terdekat iaitu di Jitra dan Arau, Perlis. - UTUSAN ONLINE