Menurut Laporan Prospek Ekonomi Global 2017 oleh Bank Dunia, Malaysia akan mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih baik 4.5 peratus pada 2018 dan 2019.

Bagaimanapun jelas Bank Dunia, Malaysia merupakan antara negara paling terdedah kepada risiko global yang akan memberi kesan kepada pertumbuhan lebih perlahan berikutan jangkaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) meningkatkan kadar faedahnya sebanyak tiga kali tahun ini.

Selain Malaysia, jelasnya, negara yang memiliki ekonomi kewangan bersepadu di rantau ini dengan saiz luar agak besar, denominasi mata wang asing dan hutang jangka pendek seperti Indonesia, sehingga kepada yang paling kecil iaitu Thailand, turut terdedah kepada faktor yang sama.

“Secara keseluruhannya, pertumbuhan bagi rantau Asia Timur dan Pasifik dijangka berkembang sederhana pada 6.2 peratus tahun ini disebabkan pertumbuhan China yang lemah dengan unjuran 6.5 peratus.

“Namun, tanpa mengambil kira pertumbuhan ekonomi China, rantau ini akan menikmati pertumbuhan lebih pesat pada kadar lima peratus tahun ini,” jelas laporan itu yang dikeluarkan di Washington, Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Menurut laporan itu lagi, pertumbuhan dalam negara pengeksport komoditi di rantau Asia Timur dan Pasifik dijangka lebih sederhana.

Dalam kalangan negara pengimport komoditi, jelas laporan itu, pertumbuhan di Thailand kekal pada 3.2 peratus disokong oleh keyakinan semakin baik dan dasar akomodatif, manakala Vietnam 6.3 peratus berbanding 6.1 peratus tahun lalu, disokong oleh pelaburan langsung asing yang kukuh dan eksport pembuatan.

Jelas laporan itu lagi, ekonomi global diunjur berkembang sederhana kepada 2.7 peratus tahun ini selepas melalui pasca krisis yang rendah tahun lalu.

“Negara-negara maju pula dijangka mencatat pertumbuhan kepada 1.8 peratus tahun ini. Rangsangan fiskal dalam kalangan negara-negara ekonomi utama khususnya AS akan menjana pertumbuhan domestik dan global dengan lebih cepat berbanding jangkaan walaupun perlindungan dagangan yang semakin meningkat akan memberi kesan buruk.

“Pertumbuhan bagi ekonomi negara membangun dan pasaran baharu muncul secara keseluruhannya akan meningkat pada 4.2 peratus tahun ini berbanding 3.4 peratus tahun lalu di tengah-tengah kenaikan harga komoditi yang sederhana,” jelasnya.