Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu tanggungan sejumlah RM1.78 bilion serta pembayaran deposit RM178 juta yang dikaitkan dengan KPRJ adalah tidak benar sama sekali.

Beliau berkata, segala perbelanjaan termasuk kos pelaburan ditanggung menerusi pendahuluan tunai daripada IWH dan China Railway Engineering Corporation (CREC) tanpa melibatkan sebarang dana KPRJ.

“Berdasarkan perjanjian jual beli tersebut, semua deposit akan dipulangkan sekiranya pembatalan adalah kerana tidak menepati prasyarat perjanjian.

“Malah, anak syarikat IWH, IWH CREC Sdn. Bhd. (ICSB) sudah menerima segala bayaran deposit berjumlah RM785 juta pada Selasa lalu (9 Mei). Oleh itu, tiada isu kerugian kepada IWH, KPRJ malah kerajaan ne­geri akibat pembatalan ini,” katanya dalam sesi penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kehilangan peluang untuk terlibat dan menjana keuntungan daripada projek Bandar Malaysia amat dikesali.

“Sebagai pemegang saham dalam IWH menerusi KPRJ, kerajaan negeri akur dengan pendirian TRX City Sdn. Bhd., dan menerima keputusan dibuat ICSB. Kita percaya ia keputusan bersifat komersial, profesional dan tidak harus dipolitikkan.

“Kita akan berusaha agar te­rus berpeluang untuk bersaing serta terlibat dalam projek atau pelaburan besar yang bermanfaat kepada Johor,” katanya.

Sementara itu, beliau turut membidas dakwaan parti pembangkang bahawa prestasi kewangan KPRJ dikatakan berada dalam keadaan kritikal.

“Berdasarkan laporan beraudit tahun 2015, Kumpulan KPRJ mempu­nyai keuntu­ngan terkumpul berjumlah RM1.6 bilion bagi syarikat dan RM2.6 bi­lion bagi kumpulan.

“Ini bermakna, KPRJ merekodkan ke­­untungan sebanyak RM80 juta setahun bagi syarikat dan RM130 juta bagi kumpulan secara pu­­rata sejak 20 tahun penubuhannya,” jelas­nya.