Jumaat lalu, ringgit ditutup rendah pada paras RM4.1830 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) manakala Bursa Malaysia pula 14.04 mata kepada 1,661.96 mata.

Moody’s pula dua minggu lalu, menilai kedudukan fiscal negara sebagai lemah disebabkan beberapa langkah yang diambil kerajaan dilihat memberi impak negatif jangka panjang.

Wartawan Utusan Malaysia, NABILA YASMIN RAZIB mendapatkan komen daripada Juruperunding Kewangan Bebas, Bina Pavo Data Intelligence Sdn. Bhd., MOHAMAD AZHAR HASHIM bagi mengulas situasi tersebut dan kesannya kepada rakyat.

Adakah ketiga-tiga situasi ini menggusarkan?

Mohamad Azhar: Ketiga-tiga situasi ini agak menggusarkan untuk jangka pendek, sederhana dan panjang. Harus diingatkan, faktor yang mendorong kepada keadaan menurun dalam pasaran semasa bukan semata-mata faktor dalaman, tetapi juga faktor luaran.

Contoh ketegangan perdagangan antara AS dengan China, kelemahan harga minyak mentah dunia, ketidaktentuan Brexit, penurunan harga minyak sawit mentah dan faktor geopolitik. Walaupun dari segi jangka panjang asas ekonomi Malaysia yang telah dibina sejak beberapa dekad lalu masih berupaya untuk menyokong pertumbuhan, tetapi sumber-sumber pertumbuhan ekonomi dalam negeri yang baharu perlu diterokai secepat mungkin supaya negara tidak terdedah dengan ketidaktentuan faktor luaran seperti yang berlaku sekarang.

Apakah impak pasaran kewangan, ringgit dan kedudukan fiskal negara yang lemah ini kepada rakyat?

Impak secara langsung adalah terhadap harga barangan diimport lebih tinggi, terutama produk makanan, alat ganti kenderaan dan lain-lain barangan pengguna. Ini boleh membebankan perbelanjaan rakyat. Berkaitan kedudukan fiskal pula, keadaan semasa boleh menyebabkan peluang pekerjaan lebih rendah, lantas menjejaskan pendapatan rakyat pada masa hadapan.

Kebanyakan golongan M40 dan B40 tidak terlibat secara langsung dalam pasaran saham. Adakah mereka juga turut menerima kesannya?

Pelaburan pasaran saham bukanlah sumber pendapatan atau kekayaan utama bagi golongan M40 dan B40. Namun, golongan ini juga melabur dalam unit-unit amanah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji dan juga mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Keadaan pasaran saham semasa sedikit sebanyak akan menjejaskan pendapatan pasif mereka melalui pelaburan dalam instrumen kewangan yang disebut tadi. Golongan pesara misalnya akan menerima kesan ketara sekiranya mereka bergantung semata-mata dengan pendapatan pasif.

Adakah keadaan ini memberi kesan kepada dividen institusi pelaburan seperti KWSP, Permodalan Nasional Berhad, Tabung Haji dan sebagainya?

Dari segi jangka pendek dan sederhana akan ada risiko menurun kepada dividen untuk pelaburan bagi institusi-institusi ini. Namun begitu saya berpendapat, dari segi jangka panjang, institusi-institusi ini pastinya telah memilih syarikat-syarikat yang kukuh untuk portfolio pelaburan mereka. Antara ciri-ciri syarikat itu kukuh ialah berjaya mengekalkan pemberian dividen sepanjang 10 tahun, keuntungan dan aliran tunai positif. Faktor-faktor ini dapat mengekalkan ali­ran dividen kepada pelabur untuk jangka panjang.

Harga minyak mentah dunia juga semakin merosot tetapi Malaysia mengambil langkah-langkah fiskal yang tertumpu kepada asas pendapatan berkaitan minyak, adakah ini dapat menampung jumlah kehilangan pendapatan negara susulan penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST)?

Keadaan ini boleh menjadi punca kepada risiko kesan negatif terhadap ekonomi negara untuk jangka pendek dan sederhana. Sekiranya Malaysia masih terus berpuas hati dengan asas pertumbuhan ekonomi semasa yang dibina beberapa dekad lalu, kesan jangka panjang juga akan dirasai.

Asas pertumbuhan semasa mungkin tidak lagi dapat menampung pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Kita perlu menggubal rangka rancangan ekonomi jangka panjang yang baharu agar negara tidak mudah diancam oleh faktor ekonomi luaran. Ekonomi negara ba­nyak bergantung pada eksport perkilangan dan komoditi, maka seharusnya apabila berlaku kitaran menurun pasaran kewa­ngan, pasaran saham dan harga minyak global, kesannya sangat kita rasai dalam pasaran tempatan seperti yang kita alami sekarang ini. Begitu juga dengan percukaian. Tak kira apa jua kaedah percukaian yang negara laksanakan, jika aktiviti ekonomi lemah maka kutipan cukai juga akan berkurang. Pada hemat saya, apa jua jenis percukaian, yang penting kegiatan ekonomi perlu rancak dan pertumbuhan perlu mapan bagi menjana pungutan cukai yang tinggi.