Pengerusi Kumpu­lan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pengagihan pendapatan berkenaan melibatkan pembayaran berjumlah RM64.77 juta, yang akan memberi manfaat kepada lebih 43,000 pemegang unit dengan pegangan lebih 1.29 bilion unit ASN 3.

Katanya, Indeks FBM KLCI menunjukkan peningkatan prestasi untuk tahun kewangan semasa ASN 3 dengan catatan pulangan harga sebanyak 5.9 peratus, satu pemulihan selepas dua tahun mengalami penurunan pasaran berturut-turut.

“Kami gembira dengan prestasi positif pasaran bagi tahun kewangan semasa ASN 3, yang telah membantu PNB untuk memberi pulangan yang kompetitif kepada para pemegang unit ASN 3. Setakat 31 Oktober 2017, ASN 3 telah mencatat pendapatan bersih sebanyak RM62.25 juta.

“Ini membantu ASN 3 mencatatkan hasil dividen sebanyak 4.9 peratus dan menyumbang kepada pulangan sehingga kini berjumlah 5.9 peratus, sejajar dengan fokus strategi dana untuk menjana pulangan seimbang menerusi pelaburan dalam ekuiti dan pendapatan tetap,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Wahid, bursa tempatan telah memperoleh manfaat melalui prestasi ekonomi yang kukuh dan harga komoditi yang tinggi dengan aliran masuk daripada pelabur asing sangat ketara pada separuh pertama tahun 2017.

“Walau bagaimanapun, separuh kedua tahun 2017 menyaksikan pasaran terjejas dengan kebimbangan geopolitik dan ketidakpastian terhadap polisi kewangan Amerika Syarikat,” ujar beliau.

Jelasnya, pengiraan pengagihan pendapatan ASN 3 adalah berdasarkan pegangan unit pada 30 November 2017.

“Pengagihan pendapatan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Disember 2017, berdasarkan nilai aset bersih (NAV) ASN 3 pada 30 November 2017.

“Sementara itu, agihan pendapatan untuk pemegang unit yang melanggan ASN 3 menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikreditkan terus ke dalam akaun KWSP masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu semua urus niaga bagi ASN 3 di ibu pejabat, cawangan dan ejen ASNB seluruh negara telah ditangguhkan sehingga 3 Disember 2017 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.