Ini berlaku ketika konflik yang kelihatan seperti perang dingin antara kedua-dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu semakin membimbangkan.

“Satu keadaan mungkin tiba di mana negara ASEAN terpaksa memilih antara satu atau yang lain,” kata Hsien Loong pada penutup sidang serantau yang dianjurkan oleh 10 negara anggota Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

“Saya harap ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini,” katanya.

Kenyataan Hsien Loong itu mencerminkan kebimbangan dalam kalangan negara-negara yang lebih kecil bahawa perang perdagangan antara AS dan China boleh mengganggu penyepaduan rantaian bekalan di seluruh Asia.

Ia mungkin membawa kepada pelbagai peraturan baharu untuk ASEAN beroperasi de­ngan mana-mana kuasa besar ekonomi dunia terbabit.

Awal bulan ini, bekas Setiausaha Perbendaharaan AS, Hank Paulson memberi amaran tentang ‘Tirai Besi Ekonomi’ yang akan membahagikan dunia sekiranya AS dan China tidak dapat mencapai kata sepakat.

Negara-negara Asia Tenggara telah sekian lama berusaha untuk mengimbangi sokongan terhadap kuasa-kuasa utama dunia bagi mengelakkan negara masing-masing terlibat dengan konflik seperti Perang Vietnam.

Strategi itu telah menyokong kestabilan yang menjadikan rantau tersebut sebagai satu daripada pemacu pertumbuhan ekonomi dunia.

Ini membawa kepada pe­ningkatan perdagangan de­ngan China, selain hubungan keselamatan dengan AS untuk melindungi kepentingan terhadap tindakan Beijing yang ingin menuntut wilayah atau kawasan baharu di rantau itu.

Hsien Loong berkata, ASEAN cuba untuk menjadi rakan kepada semua kuasa dunia, namun terpaksa memahami sekiranya terdapat kemungkinan untuk memilih sama ada satu atau yang lain.

“Jika bercakap mengenai kerjasama ekonomi, secara teo­rinya ia adalah menang-menang. Tetapi jika ekonomi glo­bal terpecah menjadi blok yang berbeza, maka ASEAN akan di­letakkan dalam keadaan yang sukar,” katanya. – AGENSI