Kita lebih gemar meme­gang telefon pintar dari bangun awal pagi untuk menunaikan solat Subuh sehinggalah ketika hendak tidur. Kita lebih ketagih pada internet.

Kita lebih gemar berinteraksi dengan sahabat handai dan kenalan di media sosial, bersembang tentang kehidupan seharian, membantu kepada yang memerlukan, mencari tempat makan yang sedap, kedai menjual buah durian yang berkua­liti tetapi murah, membuat kaji selidik tempat-tempat percutian yang kita akan pergi nanti, jadi batu api ketika waktu pilihan raya dan pelbagai aktiviti lain lagi.

Saya sangat kagum kerana di negara ini masih lagi ada golongan yang membaca, mengamalkan apa yang dibaca, mencubanya secara fizikal untuk mengetahui hasilnya, meng­alami kegagalan, bangkit dari kegagalan itu, menukar sedikit strategi dari apa yang dibaca­nya dan berkongsi pengalaman jatuh bangun tadi bersama-sama orang lain.

Golongan ini adalah golo­ngan yang luar biasa. Sangat, sangat luar biasa. Bagi saya, mereka ialah orang yang berjaya.

Perasaan kagum saya tadi bertukar menjadi sedikit kelat apabila perjalanan yang perit-jerih si penulis itu tadi tidak pula dihiraukan orang apabila ditulis dan dibukukan secara fizikal.

Apabila buku tadi diterbitkan secara digital melalui ebook pula, masih juga tidak diendahkan orang ramai. Ini bermakna tidak kira sama ada di dunia fizikal mahupun di internet, memang tidak ramai yang akan membaca.

Apatah lagi sekiranya ia mengambil masa berjam-jam untuk dihabiskan. Hampir pasti tiada siapa yang akan menyentuhnya.

Dalam industri pemasaran terutamanya pemasaran digital juga sama.

Penulisan artikel yang berjela-jela panjangnya hanya akan dibelek oleh segelintir manusia sahaja. Hanya yang benar-benar mahu tahu dan mahu mempelajari sesuatu darinya sahaja yang akan membaca artikel sehingga habis. Hanya beberapa kerat sahaja.

Jadi kita tidak lagi menulis artikel untuk manusia sebenarnya, tetapi lebih khusus untuk algoritma enjin pencarian seperti Google, Yahoo dan Bing. Kita menulis bagi memastikan agar jenama kita ditemukan di internet.

Kita menulis kerana enjin pencarian masih lagi berfungsi melalui penggunaan teks, perkataan dan ayat yang berkualiti.

Penulisan artikel kini sekiranya untuk tatapan manusia, perlu ringkas, padat dan menarik. Jangkaan saya, masa pembacaan perlu tidak sampai 2 minit.

Lebih ringkas lebih bagus. Jika terlalu ringkas sangat nanti, intipatinya tidak akan dapat difahami pula.

Untuk pengetahuan anda, bagi saya penulisan tidak efektif langsung di media sosial. Apabila saya menulis sesuatu di laman blog saya, kemudian cuba untuk mendapatkan sedikit trafik di media sosial biasanya saya tidak akan mendapat tindak balas yang baik dari platform media sosial itu. Tidak kira sama ada ia LinkedIn, Facebook, Twitter atau apa sahaja, kesimpulannya semuanya sama sahaja tidak efektif.

Mengapa? Mereka tidak ‘rela’ atau membenarkan para pengguna untuk secara aktif meninggalkan platform mereka. Bagi mereka, sekiranya anda keluar bermakna amat sukar bagi mereka untuk menarik anda kembali. Ini perangai media sosial.

Jadi lupakan penulisan sekiranya anda ingin mendapatkan perhatian orang ramai secara fizikal dan juga di media sosial. Penulisan artikel dan buku hanya sesuai digunakan enjin pencarian sahaja dan bukan di tempat lain.

Sekiranya anda ingin dapatkan perhatian orang ramai melalui mata merek secara fizikal dan juga di media sosial, anda perlu menukar sedikit taktik anda daripada penulisan biasa kepada penggunaan reka bentuk visual, video dan copywriting yang baik.

Hanya melalui kombinasi visual dan copywriting yang menarik sahaja yang boleh mencuri perhatian para penggemar media sosial untuk mereka berhenti menatal skrin telefon pintar.

Visual seperti infografik, video dan poster ringkas perlu dimasukkan beserta penulisan status yang kreatif dan catchy bagi memastikan impak yang tinggi akan diperoleh. Bukan itu sahaja, ia perlu juga mempunyai elemen emosi seperti kelakar, sedih ataupun memaksa pengunjung untuk berfikir.