Negara itu akan membuat pelaburan berjumlah AS$45 bilion (RM186.62 bilion) ke dalam Dana Wawasan kedua terbesar di SoftBank.

Dana Pelaburan Awam (PIF) dijangka membuat pelaburan berkenaan dan sedang mencari jalan untuk menggunakan AS$170 bilion (RM704.99 bilion) dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Menurut Pengerusi PIF yang juga Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, wang itu akan diperoleh melalui penjualan kepentingan dalam Saudi Basic Industries Corp. dan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat minyak, Saudi Aramco.

Katanya, PIF mahu menjadi pelabur utama dalam dana pelaburan kedua itu.

“Pelaburan terbaharu ini akan menjadikan jumlah sumbangan PIF kepada kedua-dua dana berkenaan berjumlah AS$90 bilion (RM 373.23 bilion).

“Kami menerima manfaat yang besar daripada dana yang pertama. PIF tidak akan meletakkan AS$45 bilion (RM186.62 bilion) sekiranya kami tidak melihat potensi pendapatan yang besar dalam tahun pertama,” katanya dalam temubual bersama Bloomberg di sini hari ini.

Sejak 2016 PIF berubah daripada sebuah syarikat induk domestik tidak terlalu aktif kepada dana berdaulat terbesar di dunia dengan beberapa siri pelaburan strategik di mana sebahagian besarnya difokuskan kepada syarikat teknologi.

Sebagai tambahan kepada komitmennya dalam Dana Wawasan pertama PIF telah membuat pelaburan sebanyak AS$3.5 bilion (RM 14.51 bilion) dalam Uber Technologies Inc., memperoleh lima peratus pegangan dalam Tesla Inc. dan meletak AS$1 bilion (RM 4.15 bilion) dalam syarikat pesaing, Lucid Inc.