Permintaan yang lebih rendah daripada jangkaan bagi iPhone baharu dan keputusan Apple untuk menawarkan lebih banyak model menjadikannya lebih sukar menjangkakan bilangan komponen dan telefon yang diperlukan syarikat.

Apple mengejutkan pelabur beberapa minggu lalu dengan ramalan jualan yang lebih rendah daripada jangkaan bagi Krismas ini, mendorong beberapa pembekal mengeluarkan amaran yang menggambarkan kelemahan jualan iPhone baharu.

iPhone XR diramalkan menjadi masalah besar apabila Apple mengurangkan rancangan pengeluaran model itu hingga satu pertiga daripada hampir 70 juta unit yang diminta daripada pembekal antara September hingga Februari.

Terbaharu minggu lepas, Apple memaklumkan kepada beberapa pembekal bahawa syarikat itu telah mengurangkan rancangan pengeluarannya sekali lagi untuk iPhone XR, menurut Wall Street Journal.

Syarikat itu mula menjual generasi terbaharu telefon pintarnya, iPhone XS dan XS Max pada September, sementara model XR pula pada Oktober.

Apple bagaimanapun tidak memberi maklum balas untuk mengulas di luar waktu perniagaan biasa. – REUTERS