Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerja-kerja Kajian Strategik Bersama berhubung sumbangan APEC ke arah pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) adalah penting memandangkan rundingan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) telah dimuktamadkan.

“Kami menyedari bahawa TPP dan Perkongsian Komprehensif Serantau (RCEP) adalah usaha untuk FTAAP tetapi ini tidak akan mengurangkan sokongan kami untuk sistem perdagangan pelbagai hala,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Menteri-menteri APEC di sini malam tadi.

Malaysia merupakan sebahagian daripada jawatankuasa penggubalan Kajian Strategik Bersama FTAAP yang dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Pemimpin APEC akan datang di Peru.

Mustapa berkata, dalam konteks ini, negara anggota APEC perlu mengekalkan `keutamaan paling penting’ bagi merealisasikan Matlamat Bogor dalam pelaburan dan perdagangan bebas pada tahun 2020.

Menurut beliau, ia boleh dipercepatkan menerusi ngurangan tarif dan menolak segala bentuk langkah-langkah perlindungan.

“Kedua-dua usaha ini adalah perkara utama untuk memudahkan perniagaan di dalam dan merentasi sempadan,” katanya.

Beliau menegaskan mengenai keperluan APEC untuk terus memastikan pertumbuhan ekonomi serantau, kemakmuran, kemampanan dan keselamatan, di tengah-tengah cabaran global.

“Ini untuk memastikan aktiviti-aktiviti perdagangan dan pelaburan terus berkembang dan memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti perniagaan tetapi juga rakyat secara keseluruhan dalam cara yang seimbang, terangkum dan mampan,” ujarnya.

APEC terdiri daripada 21 anggota iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong-China, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Pada 2014, ekonomi APEC menyumbang 40 peratus daripada penduduk dunia, 57 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia (AS$44.1 bilion), 48.5 peratus daripada perdagangan dunia (AS$18.5 bilion) dan 53.1 peratus aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dunia (AS$652 bilion).

Bagi Malaysia, ekonomi APEC membentuk 75.9 peratus (RM1.1 trilion) daripada jumlah perdagangan negara dan 34.4 peratus (RM12.2 bilion) daripada jumlah FDI di Malaysia manakala projek yang diluluskan dengan penyertaan APEC dalam sektor pembuatan berjumlah RM27.7 bilion (70.1 peratus). – UTUSAN