Terdapat pelbagai dakwaan yang ‘menyerang’ kembali pemilik Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) dengan menyifatkan pasar raya itu tidak menarik dengan susur atur barang yang serabut dan barang keperluan pula selalu kehabisan stok. Tidak cukup dengan itu, ada yang menyifatkan Mydin tidak tahu berniaga hingga menyebabkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang dijalankannya lingkup dan dilabel sebagai tidak mengenang jasa kerajaan yang membelanjakan sebanyak RM106.37 juta bagi program tersebut melibatkan 185 premis termasuk 21 di Sabah dan 33 di Sarawak.

Ada pula pihak mendakwa, Mydin mengalami tekanan perniagaan bukan disebabkan rakyat tidak ada duit tetapi memilih untuk berbelanja di pasar raya lain seperti Tesco, Giant dan pasar borong atau ke Speedmart dan KK Mart yang menawarkan harga lebih kompetitif.

Kemunculan perniagaan dalam talian seperti Lazada juga semakin mendapat tempat memandangkan ia lebih mudah dan cepat. Ini menjadikan persaingan semakin sengit dan rakyat hanya mencari yang terbaik bagi mengelakkan mereka berdepan tekanan kos hari demi hari.

Hakikatnya, bukan sahaja Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menerima kesan tersebut tetapi Parkson Holdings Bhd. (Parkson) yang mempunyai 50 cawangan di seluruh negara juga dilaporkan menutup cawangannya, baru-baru ini.

“Saya tiada niat salahkan sesiapa termasuk kerajaan. Kerana apa yang berlaku, adalah realiti. Saya bercakap tentang orang susah, yang berpendapatan rendah...bukan mengenai orang kaya yang mampu beli kereta Honda.

“Buat apa saya nak burukkan kerajaan sedangkan kerajaan yang bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan program inilah yang banyak bantu tingkatkan serba sedikit perniagaan pasar raya,” jelas Pengarah Urusan Mydin, Datuk (Dr) Ameer Ali Mydin kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun kenyataan itu telah disalahertikan, beliau mengakui sektor jualan runcit di negara ini tidaklah sebaik disangkakan, malah pengusaha berdepan dengan pelbagai dilema dan cabaran.

Ini berdasarkan laporan Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) yang menunjukkan pada suku pertama 2017, jualan keseluruhan runcit menyusut 1.2 peratus tetapi jualan bagi pasar raya lebih menakutkan apabila mencatat penurunan 4.8 peratus.

“Kenaikan gaji juga tidak berlaku. Misalnya, dengan gaji RM5,000, jika berbelanja di Mydin boleh dapat banyak barang dengan harga RM300 tetapi mungkin dengan barang-barang yang sama, harganya sudah meningkat jadi RM350.

“Ini adalah hakikat, kerana kita sebagai pengguna. Begitu juga apa agaknya dengan nilai RM50 yang kita boleh beli hari ini. Tetapi kenyataan saya dihentam balik,” kata Ameer.

Berbeza dengan pasar raya lain, Mydin dengan 145 cawangan di seluruh negara menawarkan sembilan format perniagaan yang berlainan iaitu terdiri daripada 25 pasar raya besar, 24 pusat beli-belah, sembilan pasar raya, 17 emporium, tiga bazar, 40 MyMydin, lima Mydin Mart, 12 MyMart, lima pasar raya premium (SAM Groceria) dan lima gudang.

Januari lalu, Mydin dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris dilaporkan mahu menjual SAM Groceria sebagai sebahagian daripada proses penyusunan semula organisasi.

Ameer Ali menganggarkan keempat-empat pasar raya itu yang terletak di Gurney Paragon Mall, Straits Quay dan Sunway Carnival Mall di Pulau Pinang dan Nu Sentral, Kuala Lumpur bernilai RM50 juta.

Susulan laporan itu ada yang menyifatkan ia satu lagi ‘berita sedih’ buat Mydin yang memulakan perniagaannya pada 1957 selepas mengalami kerugian lebih RM100 juta melalui penyertaannya dalam KR1M.

Di sebalik pelbagai dakwaan dalam isu KR1M, beliau masih menyifatkan program tersebut adalah satu bentuk inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang baik untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

“Bukan model perniagaan kita tidak bagus, tetapi kedai KR1M kebanyakannya terletak di kawasan pedalaman kerana kita cuba untuk memenuhi keperluan penduduk setempat. Keadaan ini serba sedikit memberi tekanan dari segi kos logistik walaupun dalam setahun jualan KR1M mencatat RM250 juta.

“Tetapi saya melihat dengan pelancaran KR1M 2.0 ini, banyak penambahbaikan dilakukan. Misalnya, kerajaan menggunakan rangkaian perniagaan sedia ada di kawasan tersebut dan ini satu langkah yang amat efektif kerana syarikat terbabit tidak perlu berdepan dengan kos logistik yang tinggi,” katanya.