Penganalisis Ekonomi Politik di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Prof. Edmund Terence Gomez mempersoalkan tindakan itu memandangkan ter­dapat beberapa syarikat milik ke­rajaan (GLC) dilaporkan akan diletakkan di bawah kementerian tersebut berbanding Kementerian Kewangan (MoF) sebelum ini.

Katanya, jika benar kerajaan mahu melaksanakan pembaharuan, satu jawatankuasa untuk menyemak semula GLC perlu dibentuk supaya peranannya lebih berkesan dan berupaya menangani pelbagai isu terutama melibatkan pembiayaan politik.

“Tetapi saya ingin tahu kenapa MEA ditubuhkan dan kenapa aset daripada pelbagai kementerian terutama MoF dipindahkan ke MEA? Mereka perlu jelaskan. Dan satu lagi, kerajaan juga perlu memberi penjelasan, kementerian mana yang akan menguruskan semua GLC ini.

“Bagaimana pula dengan empat kementerian dan jabatan yang dikenali sebagai ‘Big Four’ iaitu Jabatan Perdana Menteri (JPM), MoF, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC, atau dulu dikenali sebagai MOSTI), berapa pula GLC di bawah kementerian-kementerian ini akan dipindahkan ke MEA?

“Dalam hal ini, ia menuntut banyak pembaharuan struktur dan bagaimana ia dilaksanakan. Malah, pembaharuan ini juga penting kerana kita mahu melihat ketelusan dalam pembiayaan bagi sistem politik kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan laporan Kerajaan Dalam Perniagaan : Kepelbagaian Bentuk Intervensi yang dianjurkan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Ali Salman.

Pada Julai lalu, The Star me­laporkan kerajaan akan membuat penstrukturan baharu dengan meletakkan beberapa GLC di bawah MEA yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

GLC yang akan di­letakkan di bawah MEA menerusi struktur baharu ini termasuklah Ekuiti Nasional Bhd.; Bank Pembangunan Malaysia Bhd.; Perbadanan Nasional Bhd.; Felcra Bhd.; FGV Holdings Bhd. dan Johor Petroleum Development Corp.

Khazanah Nasional Bhd. (Kha­zanah), Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dipercayai akan diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Berdasarkan struktur lama, terdapat lebih 150 syarikat di bawah MoF Inc. termasuk Khazanah, Petronas, PNB, IJN Holdings Sdn. Bhd. dan juga 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Satu daripada inisiatif di bawah penstrukturan besar-besaran itu termasuklah membubarkan MoF Inc.

Mohamed Azmin ketika ini merupakan seorang daripada ahli lembaga pengarah Khazanah manakala Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi selepas sembilan lembaga pengarahnya meletak jawatan pada 26 Julai lalu.

Pada awal 2017, daripada 904 syarikat di Bursa Malaysia, sebanyak 71 syarikat boleh diklasifikasikan sebagai GLC de­ngan sekurang-kurangnya insitusi ber­kaitan kerajaan merupakan pemegang ekuiti terbesar.

Menurut Edmund, pembaharuan GLC perlu dibuat dengan kadar segera memandangkan ia memainkan peranan penting dalam ekonomi negara apatah lagi Dr. Mahathir sebelum ini pernah menyifatkan ia telah lari daripada agenda sebenarnya.

Berdasarkan kajiannya, beliau berkata, terdapat perhubungan yang kukuh antara GLC dan dasar tindakan afirmatif secara keseluruhannya bagi bumiputera di negara ini.

“Jika kerajaan mahu meneruskan dasar bumiputera, mereka perlu telus dan mendedahkan bumipu­tera yang layak serta mendedahkan penguasaan ekuiti bumiputera yang mana kerajaan sebelum ini berhenti mengeluarkan datanya sejak 2008,” katanya.