Ketua Bahagian Pembinaan Teknologi Maklumat (IT) CIDB, Mohd. Harris Ismail berkata, penggunaan teknologi tersebut sangat berkesan dalam mengelakkan pembaziran terhadap projek pembinaan dan pengurusan bangunan.

Beliau berkata, sekiranya diaplikasikan, BIM mampu memberi penjimatan sehingga ratusan juta ringgit kepada syarikat-syarikat yang menggunapakai teknologi tersebut.

“Antara ciri penting yang terdapat pada BIM adalah ia menyediakan satu pangkalan data yang terdiri daripada objek-objek pintar, model tiga dimensi (3D) yang dihasilkan mencerminkan maklumat yang diintegrasikan oleh sistem.

“Jadi dengan penggunaan BIM ia dapat membantu industri menjadi lebih efisien, berkesan, fleksibel dan lebih berinovasi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Penghargaan Industri BIM CIDB di sini hari ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob.

Pada majlis tersebut sebanyak 20 buah syarikat diberikan anugerah penghargaan sebagai simbolik kerjasama dan inovasi yang dijalankan dengan penggunaan teknologi BIM.

Antara penerima anugerah tersebut adalah Prestariang System Sdn. Bhd.; Microcorp Technology Sdn. Bhd. dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Mohd Harris berharap penganjuran anugerah tersebut akan menjadi acara tahunan bagi mengenal pasti lebih ramai pemain-pemain industri dalam penggunaan teknologi BIM di negara ini.

“Ini seterusnya akan membantu memperkenalkan bakat-bakat besar dalam industri ini ke serata dunia,” katanya.