Persoalan yang sering timbul ialah manfaat takaful yang dibayar kepada ahli keluarga kita itu pusaka atau tidak? Apa bezanya jika ia pusaka ataupun tidak? Besar perbezaannya. Sebelum pewartaan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, pelanggan hanya boleh menamakan penama untuk me­nerima manfaat takafulnya jika dia meninggal dunia. Penama ini adalah wasi dan dia berkewajipan untuk mengagihkan semula manfaat polisi ini kepada semua waris mengikut hukum faraid. Dalam keadaan tertentu selain pasangan, anak-anak dan ibu bapa, adik-beradik juga merupakan waris mengikut hukum faraid yang berhak ke atas manfaat polisi itu.

Selepas pewartaan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, pelanggan takaful kini mempunyai pilihan sama ada menggunakan konsep penama sebagai wasi atau benefisiari sebagai penerima hibah bersyarat seperti tertakluk di dalam Sek­syen 2 akta berkenaan. Selepas berlaku kematian, benefisiari atau penerima hibah akan menerima bayaran manfaat takaful dan ia adalah milik mutlak be­nefisiari atau penerima hibah berkenaan. Dia tidak berkewajipan untuk mengagihkan semula manfaat tersebut kepada waris-waris lain mengikut hukum faraid.

Saya selalu ditanya apakah pro dan kontra di antara konsep penama dan benefisiari bagi polisi takaful. Takaful ialah antara aset tunai yang paling besar diterima oleh waris selepas kematian kita selain Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ia mungkin meliputi nilai sehingga jutaan ringgit.

Kebaikan di dalam sistem penama ialah wang ini akan dikategorikan sebagai harta pusaka. Di dalam proses pusaka ini bermakna wang ini akan dikumpulkan dengan harta pusaka lain dan dijelaskan hutang si mati sama ada kepada Allah atau kepada manusia, harta sepencarian dan wasiat terlebih dahulu sebelum diagihkan kepada waris-waris lain mengikut hukum faraid. Ini bermakna, semua obligasi si mati telah selesai terlebih dahulu. Namun demikian jika ada waris yang menerima harta pusaka terdiri dari kategori seperti adik-beradik si mati, datuk atau mungkin pihak-pihak lain selain pasangan, anak dan ibu bapa, ia mungkin menimbulkan sedikit masalah yang memerlukan persefahaman dicapai sebelum pembahagian dibuat.

Dari sudut penggunaan be­nefisiari sebagai penerima hibah bersyarat pula, ia juga boleh mendatangkan komplikasi sekiranya tidak berhati-hati apabila benefisiari menerima manfaat ini secara mutlak tanpa perlu diagih kepada waris-waris lain mengikut hukum faraid. Ada kebarangkalian timbul masalah di antara ibu bapa si mati dengan pasangan sekiranya pasangan ialah penerima hibah kerana ibu bapa yang tidak menerima apa-apa daripada manfaat polisi yang banyak ini mungkin akan menuntut di mahkamah dan seterusnya mencetuskan situasi kurang harmoni di antara pasangan dan ibu bapa si mati. Kasihan kepada anak-anak si mati yang mungkin ‘kehilangan’ datuk atau nenek jika ke­adaan ini berlaku.

Balu yang menerima ratusan ribu ringgit manfaat takaful juga mungkin akan berkahwin semula dengan pasangan yang baharu. Sekiranya dia meninggal dunia pula selepas perkahwinan kedua itu, pasangan baharu akan memperoleh bahagian faraid daripada manfaat takaful tadi yang disimpan di atas nama peribadi balu. Masalah mungkin timbul pula di antara anak-anak si mati dengan pasangan baharu ibu atau bapa mereka. Keadaan lebih buruk jika balu ini berkahwin de­ngan warga asing yang bertindak meninggalkan Malaysia selepas kematian pasangan mereka. Proses pusaka tidak dapat dilaksanakan segera.

Pandangan saya, kedua-dua sistem penama dan benefisiari penerima hibah ini mempunyai keistimewaan masing-masing yang mungkin bersesuaian digunakan kepada orang-orang dalam keadaan-keadaan tertentu. Perunding takaful perlu memainkan peranan aktif memberikan maklumat yang tepat kepada pelanggan mereka supaya manfaat takaful ini bukan sahaja bermanfaat kepada waris yang diinginkan pe­langgan malah ummah secara keseluruhannya.

 

ARIFFIN SABIRIN adalah Pengasas dan Pengarah Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, peneraju perancangan dan pengurusan harta pusaka Islam.