“Apa yang penting sekarang, kerajaan sentiasa berusaha memantapkan kedudukan ekonomi negara.”

Itu kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Jeli, minggu lalu bagi menyangkal dakwaan pihak tertentu kononnya ekonomi negara akan merudum dengan nilai ringgit akan terus menyusut sehingga September depan.

Ketika ahli-ahli nujum berkenaan membuat pelbagai ramalan negatif terhadap ekonomi negara dan ringgit, banyak pihak yang lebih berwibawa menjangkakan keadaan adalah sebaliknya.

Sebagai contoh, Bank Dunia dalam laporannya baru-baru ini mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 4.3 peratus pada tahun ini manakala 4.5 peratus pada 2018.

Malah, Pakar Kanan Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr. Rafael Munoz Moreno menjangkakan, defisit fiskal Malaysia susut kepada tiga peratus pada tahun ini dan 2.8 peratus pada 2018 berbanding 3.1 peratus tahun lalu.

Pakar Kanan Ekonomi bagi Asia di Euler Hermes-Allianz Research, Mahamoud Islam turut menjangkakan KDNK Malaysia pada tahun ini adalah lebih baik iaitu sekitar 4.5 peratus berbanding 4.2 peratus 2016.

Beberapa agensi penarafan antarabangsa seperti Fitch, Standard & Poor’s dan Moody’s turut mengiktiraf Malaysia berada dalam kategori ‘A’ iaitu antara penarafan tertinggi.

Di peringkat domestik pula, firma penyelidikan ekonomi seperti JF Apex Securities Berhad dan HLIB Research turut mengunjurkan pertumbuhan positif terhadap ekonomi negara pada tahun ini dengan KDNK tumbuh 4.5 peratus manakala ringgit berlegar sekitar RM4.30 hingga RM4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat.

Semua itu adalah ramalan belaka dalam bahasa kebanyakan, unjuran atau jangkaan dalam bahasa ekonomi. Sebagaimana ditegaskan oleh Mustapa, tidak ada pihak yang mampu membuat unjuran yang tepat dalam soal ini.

Pun begitu, bagi pihak berwibawa seperti Bank Dunia, pakar ekonomi, agensi penarafan dan penganalisis ekonomi, unjuran yang dibuat tentulah berdasarkan angka, fakta dan rekod kukuh ekonomi Malaysia yang digunakan sebagai landasan.

Lantaran itu, unjuran yang dibuat lebih realistik berdasarkan keadaan sebenar ekonomi negara. Unjuran ini pastinya memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus menanam modal di dalam negara dan hasilnya ekonomi Malaysia terus merekodkan pertumbuhan dengan sektor eksport berjaya mencatat rekod pada Mac lalu dengan nilai melebihi RM80 bilion.

Kesan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berterusan pasti akan dinikmati oleh rakyat dengan terhasilnya banyak peluang pekerjaan dan kadar upah atau gaji juga mungkin meningkat secara lebih signifikan.

Sewajarnya kita merenungkan laporan Bloomberg yang menyatakan bahawa, mandat yang kuat diperoleh oleh kerajaan akan membolehkan pihak pemerintah terus melaksanakan pembaharuan atau transformasi untuk memacu pertumbuhan Malaysia menjadi sebuah negara membangun dengan sumber kewangan semakin kukuh.

Sebaliknya, sebarang keti­dak­stabilan boleh menjejaskan aliran masuk pelaburan asing selain menjauhkan syarikat-syarikat antarabangsa daripada meningkatkan pelaburan mereka di negara ini. Kesannya, sudah pasti dirasai oleh kita semua.