Dalam tempoh tiga bulan itu menyaksikan tidak banyak rungutan orang ramai terhadap harga barangan setelah tidak dikenakan cukai sebanyak enam peratus. Pasar raya seperti biasa, sentiasa penuh walaupun pada zaman GST.

Pengalaman penulis terhadap kunjungan di pasar raya besar dua tiga bulan sebelum Jun di Setiawangsa mendapati ruang tempat meletak kenderaan sentiasa penuh pada hari Sabtu dan Ahad sementara kafe hipster yang menjual air kopi sehingga RM11 secawan masih sentiasa menjadi tumpuan melepak.

Dan ketika itu tidak pernah pula mendengar kafe-kafe hipster jenama barat ditutup kerana tidak dikunjungi disebabkan harga yang mahal akibat penangan GST dan begitu juga dengan jenama restoran segera yang menjual ayam goreng menjadi muflis.

Malah tudung jenama Duck yang berharga RM800 sehelai boleh habis dijual dalam masa 5 minit sahaja ketika zaman GST tahun lalu!

Tetapi, zaman bebas GST itu akan berakhir tidak lama lagi dengan pengembalian SST yang mungkin ditetapkan pada kadar lama iaitu sebanyak 10 peratus seperti terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan yang kini telah menjadi kerajaan.

Adakah pengembalian SST itu akan menyebabkan harga barangan meningkat? Dalam hal ini penulis sukar untuk memberi jawapan yang tepat kerana sistem percukaian agak kompleks dan juga tertakluk kepada dasar-dasar kerajaan dan persekitaran ekonomi domestik dan antarabangsa.

Sebagai contoh, ketika penulis berhasrat untuk membeli perabot pada bulan lalu, jurujual memberitahu untuk membeli pada waktu sifar GST kerana harga akan kembali mahal apabila SST dilaksanakan.

Begitu juga dengan harga kereta yang disebut-sebut akan kembali meningkat setelah SST dikembalikan seperti yang dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad baru-baru ini.

Pendapat Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin bahawa harga kenderaan akan tertakluk kepada SST jika waktu serahan atau invois dikeluarkan selepas sistem percukaian itu dilaksanakan boleh diterima.

Ia berdasarkan enam peratus (GST) digantikan dengan 10 peratus (SST) yang secara logiknya memang akan menyebabkan harga meningkat.

Jadi, apabila kenaikan harga berlaku, sedikit sebanyak akan mempengaruhi inflasi.

Sebelum ini RAM Rating Services Bhd, sebuah agensi penarafan menjangkakan kadar inflasi Malaysia bagi Mei dijang­ka meningkat kepada 1.9 peratus berbanding 1.4 peratus pada April, disebabkan kenaikan harga bahan api runcit yang lebih pantas.

Bagaimanapun, pada Mei harga RON 95 kekal tidak berubah pada RM2.20 seliter sejak Mac dan dijangka kekal pada paras ini berikutan pengenalan semula subsidi.

Ketua Penyelidikan Ram Rating, Kristina Fong berkata, ketidakpastian kekal pada kese­luruhan prospek inflasi bagi 2018 ketika lebih ba­nyak langkah dasar diperkenalkan oleh pentadbiran baharu, dengan perubahan sistem cukai daripada GST kepada SST, yang paling relevan bagi anggaran tahun penuh.

Beliau berkata, walaupun langkah mengenakan GST pada kadar sifar yang berkuat kuasa pada 1 Jun dijangka dapat mengurangkan tekanan inflasi kese­luruhan, pengenalan semula SST mungkin sedikit sebanyak mengimbangi kesan deflasi daripada GST.

Bukan itu sahaja, pengenaan surcaj tambahan 1.35 sen/kWh yang telah bermula pada bulan ini turut memberi kesan pada harga barangan dan seperti biasa, akan menyumbang sedikit sebanyak kepada inflasi.

Dalam hal ini, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menjangkakan kos bagi jualan barangan akan meningkat antara satu hingga dua peratus susulan surcaj tambahan tersebut.

Sebelum penguatkuasaan surcaj tersebut, Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) telah mengumumkan tarif asas gas asli yang lebih tinggi selepas dinaikkan 77 sen kepada RM23.80 per satu juta unit termal British (MMBtu) bermula 1 Julai.

Oleh kerana sistem ekonomi negara bertunjangkan kepada ekonomi barat yang berorientasikan pemodal, sebarang kos yang meningkat di bahagian pengeluaran akan diserahkan kepada pengguna terakhir.

Dan jangan lupa, kejatuhan nilai ringgit yang ketika ini pada RM4.04 berbanding AS$1 juga akan memberi kesan kepada pengeluaran yang mempe­ngaruhi kos dan akhirnya menjejaskan kuasa beli dan meningkatkan inflasi.

Kesemua ini akan memberi kesan kepada penulis dan anda semua.