Namun, disebabkan urus niaga mata wang kripto tidak dikawal selia oleh bank pusat atau pihak berkuasa kewangan, pengguna terdedah kepada pelbagai risiko untuk mengalami kerugian termasuk menjadi mangsa skim penipuan.

Di Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) kekal dengan pendiriannya bahawa Malaysia tidak melarang pelaburan mata wang kripto buat masa ini, sebaliknya membiarkan pasaran membuat keputusan mengenainya.

Rencam minggu ini melihat isu yang melingkari mata wang kripto seperti risiko terhadap pengguna serta keperluan untuk pihak berkuasa mengawal selia urus niaga melibatkan mata wang digital itu.

Kebanyakan maklumat adalah dipetik daripada kajian bertajuk Regulation of Virtual Currencies: Mitigating the Risks and Challenges Involved (Mengawal selia mata wang maya: mitigasi risiko dan cabaran terlibat).

Ia disediakan oleh Zalina Muhamed Zahudi dan Radin Ariff Taquiddin Radin Amir dari Jabatan Perundangan, Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikeluarkan oleh Institut Perbankan dan Kewangan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Apakah mata wang kripto?

Mata wang kripto adalah mata wang maya. Ia merupakan satu bentuk token digital yang membolehkan penggunanya berurusan terus dengan individu tanpa perlu melalui institusi kewangan. 

Ia digelar mata wang kripto kerana pengaliran wang itu dikawal oleh mesin kriptografi. Contoh mata wang kripto ialah Bitcoin, Ether dan Litecoin. Setakat Januari lalu, terdapat 1,380 versi mata wang kripto.

Mata wang kripto adalah inovasi baharu kewangan yang tidak tertakluk dengan undang-undang di Malaysia dan tidak diiktiraf sebagai wang yang sah oleh kerajaan.

Di Malaysia, hanya wang dikeluarkan dan dikawal oleh Akta BNM 2009 dan Bahagian III Akta BNM 1958 yang diiktiraf. Berdasarkan Seksyen 20 BNM 1958, hanya BNM boleh mengeluarkan mata wang di Malaysia. Sebarang bentuk mata wang yang dikeluarkan oleh pihak lain adalah tidak sah.

Berbanding Ringgit atau mata wang negara-negara lain, mata wang kripto tidak mempunyai wang fizikal seperti syiling dan wang kertas. Walaupun mata wang digital boleh berfungsi sebagai unit akaun, nilai tersimpan atau medium pertukaran, ia tidak digunakan atau sah diperlakukan secara meluas.

Sebahagian mata wang kripto hanya boleh digunakan dalam ekonomi maya seperti dalam permainan atas talian tetapi ada juga yang boleh digunakan untuk membuat pembelian barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi sebenar dan boleh ditukar kepada wang tunai.

Cabaran mengawal selia mata wang maya

Meskipun mata wang maya tidak diiktiraf oleh sebahagian besar negara, hanya lima negara yang mengharamkan mata wang maya setakat ini. Lima negara tersebut ialah Maghribi, Bolivia, Ecuador, China dan Nepal. Di negara-negara lain mata wang kripto masih bebas digunakan, cuma pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dan memahami risiko dan bahaya dalam membuat pelaburan dalam mata wang maya.

Pengharaman sepenuhnya mata wang maya mungkin sukar kerana mata wang maya versi lain pula akan timbul tetapi jika dibiarkan ia boleh memberikan kesan besar kepada pelabur. Situasi mata wang maya sekarang tidak ubah seperti pelaburan skim cepat kaya.

Langkah terbaik ialah bank pusat perlu mengawal selia mata wang maya dan sebarang transaksi perlu tertakluk kepada undang-undang termasuk akta percukaian. Banyak negara sekarang sedang berusaha untuk mengawal selia urus niaga mata wang maya.

BNM juga sedang mengkaji perkara itu dan akan mengeluarkan kertas konsep berhubung urus niaga mata wang maya atau kripto dalam masa terdekat.

Perbezaan mata wang maya dan wang elektronik

TERDAPAT perbezaan antara mata wang maya dan wang elektronik dari segi definisi dan terminologi. Wang elektronik adalah nilai digital kepada wang fiat dan dianggap sebagai wang.  Semua negara termasuk Malaysia mengawal selia pengeluaran wang elektronik. Wang elektronik adalah wang fiat yang disimpan di dalam dompet digital atau akaun bank.  Ia masih sebahagian sistem wang fiat. Tetapi mata wang maya bukan sebahagian sistem wang fiat. 

Menurut Pasukan Petugas Bertindak Khas Kewangan (FATF), mata wang maya ialah representasi digital sesuatu nilai yang boleh didagangkan secara digital dan berfungsi sebagai satu bentuk pertukaran, unit akaun atau nilai tersimpan tetapi tidak mempunyai status wang sah dalam mana-mana perundangan. Ia tidak dikeluarkan atau dijamin oleh mana-mana perundangan.

Kenapa mata wang maya menjadi pilihan transaksi aktiviti haram?

Kelebihan utama mata wang maya seperti kripto ialah ia bersifat tidak berpusat. Mata wang tersebut dikawal sepenuhnya oleh perisian komputer. 

Segala transaksi juga tidak memerlukan perantaraan dan tidak dikawal oleh mana-mana institusi.

Walaupun setiap transaksi direkodkan ke dalam log awam tetapi nama pembeli dan penjual tidak didedahkan.  
Ini membolehkan sesiapa sahaja melakukan transaksi menggunakan mata wang maya tanpa dikesan. Transaksi itu juga bebas dari semua dasar percukaian.

Risiko kepada pemilik

1.Serangan siber 
Mata wang maya boleh hilang dicuri oleh penggodam komputer. Misalnya, pada tahun lalu, platform NiceHash kehilangan 4, 700 bitcoin bernilai hampir AS$64 juta (RM261 juta) pada masa itu selepas digodam. Apabila hilang, aset tersebut tidak boleh diperolehi kembali.

2. Kesilapan proses transaksi
Sekiranya berlaku kesilapan akibat kesilapan pengguna sendiri seperti tersalah bayar kepada pihak lain dan masalah teknologi, pengguna boleh kehilangan aset mereka.

3. Penipuan
Secara umumnya, mata wang digital boleh dibelanjakan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat akaun pemilik. Dalam kebanyakan mata wang digital, transaksi tidak boleh diundur kembali meskipun akibat penipuan atau penggunaan tidak sah.

4. Harga tidak stabil
Meskipun harga mata wang maya kononnya berdasarkan permintaan pasaran, ia sebenarnya banyak dipengaruhi spekulator. Disebabkan itu, harga mata wang maya mudah naik dan turun dengan mendadak. Keadaan itu boleh menyebabkan pemiliknya mengalami kerugian besar.

5. Tidak ada perlindungan
Oleh sebab mata wang maya tidak dikawal selia dan tidak diiktiraf oleh bank pusat, tidak ada badan yang akan membantu sekiranya timbul sebarang masalah.