ADAM M. RAHIM
ADAM M. RAHIM

Penganalisis MIDF Research, Adam M. Rahim berkata, pembe­lian bersih oleh dana asing itu te­lah mengimbangi hampir 35 peratus daripada aliran keluar sejak 2014 hingga 2016.

“Aliran masuk ini adalah ter­tinggi di antara empat pasaran Asia Tenggara yang kami jejaki.

“Ini juga adalah aliran masuk bersih pertama direkodkan sejak pilihan raya 2013 dan terbesar sejak aliran masuk AS$4.75 bi­lion (RM19.29 bilion) tahun 2012,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Adam berkata, dana asing membeli dengan agak agresif pada 2017 apabila Bursa Malaysia merekodkan suntikan bersih dalam 35 daripada 52 minggu dagangan pada tahun tersebut.

“Dari awal Februari hingga Jun 2017, dana asing menjadi pembeli bersih untuk 18 minggu berturut-turut iaitu pembelian terpanjang sejak 21 minggu pada 2013.

“Hari paling menonjol adalah pada 17 Mac 2017 apabila pelabur asing mencatatkan RM816.1 juta sekali gus menutup FBM KLCI di atas tahap 1,740 buat pertama kali sejak Jun 2015, membawa kepada aliran masuk RM4.37 bilion pada bulan itu,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, dari Ogos hingga November 2017, pelabur asing meninggalkan pasaran dengan aliran keluar bersih berjumlah RM1.22 bilion akibat kete­gangan di Semenanjung Korea.

“Menariknya, kemajuan be­sar di bawah pelan pemulihan cukai Amerika Syarikat (AS) me­nyaksikan dana asing masuk semula pada Disember 2017 de­ngan kemasukan RM959.9 juta,” katanya.

Menurut Adam, selepas pembelian besar-besaran pada 2017, MIDF berpendapat aliran masuk berkenaan akan berterusan pada 2018 terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Sementara itu kami juga mengambil perhatian terhadap faktor luaran lain seperti pan­dangan pelabur luar terhadap dasar monetari boleh mendorong aliran keluar.

“Bagaimanapun, kami meng­anggap bahawa impak yang mungkin dialami terhadap faktor tersebut adalah minimum,” jelas beliau.

Sementara itu Adam berkata, ringgit mengatasi mata wang lain di Asia Tenggara dengan keuntung­an tahunan sebanyak 10.9 peratus pada RM4.0465 setiap dolar AS, terbesar sejak 2010.