Penganalisis MIDF Research, Danial Razak berkata, ia merupakan 16 kali ganda lebih tinggi daripada aliran masuk bersih pada minggu sebelumnya dan tertinggi dicatatkan sejak September 2018.

Katanya, setakat ini pada 2019, dana asing membeli ekuiti tempatan sebanyak RM424.5 juta.

“Berbanding dengan tiga negara ASEAN lain yang dipantau iaitu Filipina, Indonesia dan Thailand, Malaysia mempunyai aliran masuk bersih asing paling rendah.

“Pelabur-pelabur asing bertukar menjadi pembeli selepas proses jualan yang singkat pada Isnin, mengakhiri minggu lepas dengan positif,” katanya dalam laporan aliran dana mingguan di sini hari ini.

Pelabur asing bertukar kepada pembeli bermula sejak dua minggu lepas, selepas sembilan minggu berturut-turut sebagai penjual.

Menurut Danial, pelabur asing mula membeli ekuiti tempatan sebanyak RM51.7 juta pada Selasa diikuti dengan jumlah bersih RM378 juta sepanjang minggu itu.

Tambah beliau, pembelian kuantum bersih memuncak pada Jumaat apabila keyakinan perdagangan diperbaharui.

“Wall Street Journal me­laporkan Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan langkah-langkah untuk me­lancarkan kembali tarif ke atas produk-produk China, yang membantu mengimbangi kebimbangan kelembapan ekonomi global.

“Eksport dan import China mencatat penurunan ketara pada Disember berpunca daripada kesan perang dagangan,” katanya.