Menurut Malaysian Rating Corp. Bhd. (MARC), jualan dalam bon Malaysia juga disebabkan oleh peningkatan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) pada Ogos yang berjumlah RM8.5 bilion.

Dalam tempoh lapan bulan sehingga 31 Ogos 2018, ia merekodkan aliran keluar bersih asing sebanyak RM19 bilion, lebih rendah berbanding aliran keluar bersih yang dicatatkan pada separuh pertama tahun ini, iaitu RM21 bilion.

“Pada Ogos, pegangan asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan jumlah bon Malaysia adalah 40 peratus dan 13 peratus daripada jumlah keseluruhan tertunggak, penurunan daripada bulan sebelumnya iaitu 41 peratus dan 14 peratus.

“Tahun lalu, pasaran bon Malaysia bagi aliran keluar asing sebanyak RM8.9 bilion selepas merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM800 juta pada 2016,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Namun jelas MARC, prestasi pasaran sekunder bagi kontrak yang dikeluarkan kerajaan yang telah disokong oleh akhir bulan Ogos berdasarkan jangkaan ekonomi Malaysia yang lebih perlahan pada masa hadapan.

Katanya, hasil jangka pendek MGS jatuh lebih cepat berban­ding tempoh lebih lama di sebalik jangkaan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25 peratus untuk sepanjang tahun ini.

“Kelemahan ringgit pada Ogos pula sejajar dengan mata wang pasaran ekonomi baharu muncul, jatuh 1.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ke paras sembilan bulan terendah, RM4.1090 daripada RM4.0652 pada bulan sebelumnya,” katanya.

Sepanjang minggu lalu, kebimbangan terhadap pasaran ekonomi baharu muncul memberi kesan kepada mata wang di rantau ini. Mata wang ekonomi baharu muncul yang merangkumi MSCI EM Currency Index susut lebih tujuh peratus dalam dolar AS bagi tempoh enam bulan lalu dengan peso dan lira merosot lebih daripada 59 peratus dan 44 peratus.

Sentimen negatif ini turut memberi kesan kepada mata wang di rantau Asia seperti rupee, rupiah dan peso. Ringgit sahaja menyusut lebih tujuh peratus sejak April 2018.