Menurut Laporan Aliran Dana Mingguan MIDF Research, berdasarkan data awal dari Bursa Malaysia yang mengecualikan ta­waran luar pasaran, bursa kini merekodkan dana global terkumpul berjumlah RM348.9 juta bagi saham-saham tempatan.

Sehingga kini, dana global merupakan pembeli bersih bagi saham-saham tempatan untuk tempoh 15 daripada 31 minggu.

“Dana luar pesisir memulakan dagangan minggu lalu pada kadar RM39.2 juta, dan meneruskan pembelian pada Rabu pada kadar perlahan iaitu sebanyak RM151.3 juta susulan laporan Amerika Syarikat (AS) dan China mahu memulakan rundingan bagi memulihkan ketegangan perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, indeks FBM KLCI naik 0.23 peratus susulan laporan berkenaan dan ditutup pada 1,788 mata dan merupakan kadar tertinggi dalam tempoh 48 hari.

Pelabur asing kembali dalam mode menjual pada Khamis yang menyaksikan aliran keluar sebanyak RM123.7 juta selepas AS mencadangkan kenaikan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan import China yang bernilai AS$200 bilion (RM815.55 bilion).

“Untuk tiga bulan yang lalu, aliran keluar bersih asing telah secara beransur-ansur menurun.

“Bulan Mei menyaksikan dana global mencatatkan jualan bersih asing sebanyak RM5.6 bilion diikuti oleh RM4.9 bilion pada bulan Jun manakala Julai hanya melihat jualan bersih asing bernilai RM1.7 bilion.

“Antara empat pasaran ASEAN yang dipantau, Malaysia mempunyai aliran keluar yang kedua terendah bernilai AS$2.11 bilion (RM8.45 bilion) di belakang Fi­lipina,” katanya.