Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata Malaysia akan terus membantu memudahkan eksport dan mempromosikan produk tempatan yang unik itu kepada pasaran global.

"Hari ini, kerjasama kukuh antara Malaysia dan China telah menghasilkan inisiatif eksport durian dan kedua-dua kerajaan telah bekerjasama untuk selama beberapa bulan bagi memudahkan eksport durian Musang King beku dalam bentuk buah penuh ke China," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alibaba telah menyokong usaha Malaysia dalam pelbagai bidang untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana tempatan termasuk dalam menyokong perdagangan global, serta membantu mempromosikan produk Malaysia melalui kempen penjanaan permintaan, antaranya.

"Ini satu permulaan kerjasama strategik jangka panjang yang mengambil kira kesungguhan Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan eksport tempatan melalui platform e-dagang dan menyokong pertumbuhan dalam bidang ini," katanya.

Pada 2018, Malaysia menghasilkan lebih daripada 350 juta kilogram durian tetapi angka eksportnya baru setakat lima peratus sahaja.

"Oleh itu, melalui kerjasama ini, kami amat positif bahawa eksport durian akan berkembang dengan pesat. Ini juga menyebabkan banyak kebun tempatan mula melabur untuk meningkatkan pengeluaran durian, satu tanda bahawa ramai pihak yang sudah mula menyedari peluang pertumbuhan ini," katanya.

Dibantu oleh sistem pengagihan pelbagai saluran di Alibaba, pengguna China akan dapat membeli buah-buahan melalui Tmall dan Freshippo, salah satu platform niaga baharu di Alibaba yang membolehkan pengguna untuk membeli produk-produk sama ada menggunakan aplikasinya yang khusus atau di salah satu daripada 150 cawangan luar talian di seluruh China. - BERNAMA