Zuckerberg sedang mengubah Facebook dan menjadikannya sebagai platform yang lebih berkualiti untuk para pengguna berinteraksi dengan keluarga dan sahabat handai masing-masing. Dia tidak mahu Facebook menjadi punca perosak hubungan peribadi dan profesional sesama sahabat kerana masing-masing sering menghabiskan terlalu banyak masa dengan telefon pintar mengejar berita palsu dan promosi yang bukan-bukan di News Feed.

Zuckerberg mahu News Feed dipenuhi oleh interaksi-interaksi yang bermakna daripada keluarga dan rakan-rakan, dan mengurangkan iklan, berita dan promosi jualan di News Feed. Dikatakan algoritma baharu ini akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh dunia. Mereka menjangkakan ia akan diperkenalkan sepenuhnya pada Mac nanti.

Perubahan ini sedikit seba­nyak akan memberikan tamparan hebat kepada para peniaga kecil dan sederhana di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Ini kerana kebanyakan mereka menggunakan Facebook peribadi masing-masing untuk menjual. Dalam hanya beberapa minggu sahaja lagi, anda bakal menyaksikan status-status menjual anda tidak akan muncul lagi di News Feed.

Jika anda mahu menjual, mereka secara diam akan memaksa anda untuk membuka laman perniagaan atau Facebook Page, dan di sini anda perlu membayar untuk status anda dilihat. Tiada bayaran, tiada promosi. Tiada bayaran, hanya anda seorang sahaja yang akan melihat status yang dimuat naik setiap hari.

Menjual dengan cara tidak menjual, tetapi lebih kepada memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada pembaca. Ini yang Facebook mahukan. Anda perlu menggunakan sedikit kreativiti ketika melalukan promosi produk dan perkhidmatan anda di Facebook agar tidak terlalu menjual. Kurangkan penggunaan perkataan dan ayat yang menjurus kepada penjualan yang keterlaluan, tetapi lebihkan sesuatu yang para pengguna mahukan.

Berikan mereka sedikit nilai, melalui penceritaan, statistik, maklumat terkini ataupun apa sahaja yang membantu mereka dalam menyelesaikan masalah peribadi, kewangan mahupun perniagaan dan juga di tempat kerja.

Facebook mahukan nilai daripada anda, terlalu menjual menjadikan jenama anda kelihatan terlalu murah. Sekiranya anda masih ingin menjual, lakukan di laman web anda. Di sini sepatutnya anda menjual.

Facebook mahu anda berinteraksi dengan pengguna lain sebagai manusia biasa dan menjadikan pengguna tadi sebagai pelanggan anda secara semula jadi.

Algoritma baharu yang sedang dalam proses untuk di­mulakan ini boleh mengetahui melalui status yang dimuat naik, gambar dan video sama ada anda terlalu menjual ataupun tidak. Terdapat juga beberapa elemen lain yang bakal disenaraihitamkan oleh Facebook. Penulisan status seperti ini satu daripadanya. Komen dan kongsi post ini, Tekan butang Like sekiranya anda baharu berkahwin, Tag rakan anda yang memiliki jam tangan berjenama ini. Status-status lain yang lebih kurang sejenis de­ngan ini tidak akan terlepas. Facebook tidak lagi membenarkan umpan-umpan seperti ini wujud di News Feed. Tidak kira sama ada anda meletakkannya di tajuk, di dalam status, poster, video atau di mana sahaja di status anda, mereka akan tahu. Terima kasih kepada teknologi machine learning atau mesin yang mampu belajar daripada data-data diproses yang diguna pakai Facebook. Kepintaran buatan atau Artificial Intelligence (AI) ini akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada News Feed terlebih dahulu.

Facebook tidak mahu lagi disalah guna oleh para penjual dan jenama di luar sana yang menggunakan platform ini bagi mendapatkan pembeli semata-mata. Mereka menabur pelbagai bentuk promosi yang bertubi-tubi kepada para pengguna Facebook lain.

Kali ini, sekiranya jenama tersebut tidak mempunyai status yang berkualiti dan menggalakkan interaksi yang bermakna maka dengan sendirinya status tadi tidak akan dilihat oleh orang lain.

Semua orang tahu Facebook tidak digemari oleh golongan muda. Golongan generasi Millennial yang rata-rata dilahirkan selepas tahun 2000 ini lebih menggemari Instagram, Snapchat dan YouTube berbanding Facebook.

Perubahan algoritma yang dilakukan Facebook kali ini menukar selera golongan ini dengan pengenalan Facebook Music, iaitu fungsi terbaharu yang akan memberikan per­saingan sengit kepada YouTube.

Facebook baru sahaja menandatangani perjanjian kerjasama dengan Universal Music, label muzik yang terbesar di dunia untuk ini. Ini bermakna anda dibenarkan untuk memuat naik video muzik yang dinaungi Universal Music tanpa notis amaran lagi.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti blog beliau di azleen.com