Ini melibatkan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A), ekuiti swasta, modal teroka (PE/VC) dan tawaran awam permulaan (IPO).

Firma penilaian dan penasihat global, Duff & Phelps mendapati keadaan itu dise­babkan oleh perubahan politik dan pihak perniagaan yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap inisiatif pertumbuhan strategik.

Pengarah Urusan Duff & Phelps Singapore Pte. Ltd., Srividya C. Gopalakrishnan berkata, bagaimanapun, momentum me­­ningkat apabila menuju akhir tahun dengan beberapa transaksi penting dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia seperti pengambilalihan 16 peratus kepentingan oleh Mitsui & Co dalam IHH Healthcare Bhd. sebanyak AS$2 bilion (RM8.4 bilion).

“Malaysia, Singapura dan Indonesia menyaksikan tahap aktiviti paras tinggi bernilai lebih AS$136 bilion (RM568.8 bilion) membabitkan 1,419 urus niaga, dengan lebih 15 transaksi bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.18 bilion) setiap satu.

“Pasaran M&A pula me­ngekalkan momentum pada 2018, pertumbuhan dipacu oleh peningkatan aliran keluar bernilai tinggi urus niaga dana kekayaan berdaulat (SWF) dari Singapura, disokong oleh aktivi­­ti M&A domestik di rantau ini,” katanya dalam Laporan Transaksi Tahunan Duff & Phelps 2018.

Bagi nilai serantau, Singa­pura menyumbang sebanyak AS$106.2 bilion (RM444.2 bi­lion) menerusi 857 urus niaga, meningkat daripada AS$101.9 bilion (RM426.2 bilion) melibatkan 842 urus niaga pada 2017.

Beliau berkata, landskap urus niaga di Indonesia pada tahun ini adalah aktif.

“Nilai M&A, PE/VC dan IPO bagi 2018 di Indonesia naik lebih dua kali ganda kepada AS$19.5 bilion (RM81.6 bi­lion) berbanding AS$9.6 bilion (RM40.2 bilion) tahun lepas,” katanya.

Di peringkat global, seba­nyak 39,651 urus niaga bernilai AS$3.5 trilion (RM14.6 trilion) dicatatkan bagi tempoh sama, berdasarkan data Bloomberg.

Menurut Duff & Phelps, aktiviti urus niaga M&A global meningkat pada 2018 dari segi nilai urus niaga tetapi menyaksikan penurunan dalam jumlah transaksi M&A berbanding pada 2017.

Kira-kira 41 peratus jumlah urus niaga global dan 50 peratus nilai urus niaga berlaku di Amerika Utara bagi 2018.

Asia Pasifik yang me­nyumbang 23 peratus nilai M&A global pada 2018 kekal menjadi penyumbang utama untuk mengatasi Eropah (22 peratus) walaupun ia lebih rendah berbanding pada 2017 apabila berkongsi 29 peratus nilai urus niaga.