Persoalan ini merupakan satu keadaan yang sukar dijawab oleh pelabur dan pedagang saham disebabkan semangat pelabur dan pedagang saham akan luntur atau lemah semasa pasaran berada di dalam keadaan mendatar, lemah ataupun jatuh.

Boleh dikatakan, semangat dan emosi pelabur serta pedagang saham juga seperti keadaan turun naik harga saham. Jika pasaran saham naik, semangat pelabur sangat tinggi dan semangat ini akan jatuh apabila pasaran saham jatuh. Ada juga pelabur dan pedagang saham yang terus tidak mahu melihat skrin saham pada waktu tersebut kerana tidak sanggup melihat angka-angka yang berwarna merah.

Keadaan ini menandakan bahawa mereka telah mengalami kerugian ataupun portfolio menunjukkan kerugian di atas kertas. Pedagang saham jangka masa singkat pula sukar untuk membuat keuntungan secara cepat atau dalam waktu singkat berbanding ketika pasaran mengalami aliran menaik.

Pedagang waktu singkat atau kontra ini tidak berminat untuk membeli saham untuk pelaburan jangka masa sederhana mahupun panjang. Terdapat juga yang tidak akan menyimpan saham yang dibeli itu walaupun untuk jangka masa dua minggu sahaja.

Mereka lebih cenderung untuk membuat urus niaga beli dan jual saham dalam transaksi kontra T3 atau lima hari be­kerja (termasuk Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am). Sekiranya saham yang dibeli itu jatuh, mereka akan terus menjual saham tersebut dan sanggup membayar kerugian daripada perbezaan harga beli dan jual.

Kesilapan yang menyebabkan kerugian itu kebanyakan kerana cetek ilmu atau membuat beli jual saham tanpa mempelajari terlebih dahulu cara-cara yang betul. Mereka beranggapan bahawa jika mereka membeli saham, harga saham mesti naik dan mereka akan memperoleh keuntu­ngan. Walhal, harga saham boleh jatuh sejurus selepas membeli.

Berbalik kepada persoalan di atas tadi, maka apakah yang perlu dilakukan oleh pelabur dan pedagang saham ini semasa keadaan pasaran tidak rancak?.

Waktu pasaran dalam keada­an lemah atau mendatar ialah saat yang sesuai untuk mendapatkan ilmu pelaburan saham. Maksudnya, waktu inilah pelabur dan pedagang saham baharu atau yang tiada ilmu pelaburan perlu mendapatkan ilmu saham dengan menghadiri kursus atau seminar saham.

Berkenaan di manakah kursus atau seminar saham ini, pembaca boleh merujuk semula artikel yang lepas di ruangan ini. Belajar semasa keadaan pasaran saham lemah merupakan satu langkah permulaan yang baik kerana kita boleh mengenali atau menghafal nama-nama syarikat tersenarai, melihat atau memahami perjalanan atau pergerakan harga saham yang tidak terlalu cepat berubah serta dapat membuat pembacaan dan kajian sendiri sebelum pasaran kembali aktif.

Pelabur mempunyai ba­nyak masa untuk membuat kajian dan analisa saham sebelum pasaran kembali cergas. Pelabur dapat membuat keputusan yang lebih baik lebih-lebih lagi pelabur baharu yang mengambil masa agak lama untuk membuat kajian.

Sewaktu pasaran di dalam keadaan menurun, pelabur dan pedagang saham juga mempunyai banyak masa memerhatikan trend atau corak kejatuhan sesuatu saham syarikat tersenarai. Pemerhatian ke atas ali­ran menurun ini semata-mata menanti peluang-peluang untuk membeli saham pada harga diskaun.

Pelabur dan pedagang saham yang membeli saham sewaktu pasaran saham menurun lebih rendah terdedah kepada risiko kerugian berbanding dengan yang membeli saham ketika ali­ran menaik. Ini kerana, aliran menaik itu boleh tiba-tiba bertukar menjadi aliran menurun sebelum pelabur dan pedagang saham sempat menjual saham yang dibeli itu.

Juga, membeli saham semasa pasaran sedang mengalami kejatuhan lebih mudah kerana pelabur dan pedagang saham tidak perlu menunggu masa yang lama untuk arahan beli dipadankan.

Ini berbeza dengan sewaktu pasaran aktif kerana pelabur dan pedagang saham selalu terlepas membeli disebabkan harga bergerak pantas dan arahan beli sukar dipadankan kerana terdapat ramai lagi yang meletakkan arahan membeli pada harga yang sama.

Terdapat satu ungkapan yang mengatakan bahawa ‘beli semasa orang lain takut.’ Ketakutan untuk membeli ini biasanya terjadi semasa pasaran saham mengalami pergerakan menurun untuk satu tempoh masa.

Tempoh masa yang dimaksudkan ialah satu siri kejatuhan yang berterusan untuk beberapa hari mahupun beberapa minggu. Justeru, tempoh kejatuhan ini perlu dimanfaatkan oleh pelabur dan pedagang saham secara bijak.

Kepada yang ingin temui Cikgu Saham dan bertanya soalan tentang pasaran boleh mendaftar di http://tinyurl.com/sembangsaham2017.