Pengarah Eksekutif MIA, Datuk Muhammad Redzuan Abdullah berkata, antara perkhidmatan ditawarkan meliputi kesetiausahaan syarikat, pengendalian akaun perniagaan dan cukai sehinggakan ke peringkat audit.

Katanya, hasil maklumat yang diterima mendapati sebilangan besar daripada mereka yang menggunakan perkhidmatan akauntan tidak bertauliah itu antaranya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Jelas beliau, alasan utama syarikat kecil memilih akauntan tidak bertauliah berikutan caj yang murah dikenakan berban­ding firma perakaunan bertauliah dan dalam masa sama dapat mengelak pembayaran cukai yang tinggi.

“Kesalahan dilakukan oleh akauntan tidak bertauliah/berlesen itu menyebabkan cukai yang betul tidak dikenakan kepada syarikat/perniagaan sete­rusnya tidak mematuhi piawai­an audit dan perakaunan yang diluluskan.

“Tindakan menyediakan perkhidmatan amalan awam oleh akauntan tidak bertauliah itu melanggar Akta Akauntan 1967,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sejak kebelakangan ini, MIA dapati terlalu banyak iklan berkaitan perkhidmatan amalan awam ditawarkan oleh akauntan tidak bertauliah sehingga ada antara mereka yang menyiarkan iklan itu menerusi surat khabar tempatan dan laman web.

Akauntan tersebut dan syarikat terlibat boleh diambil tindakan oleh pihak MIA, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Setakat ini, sebanyak 40 syarikat/perniagaan telah diambil tindakan oleh MIA.

Hukuman di bawah Akta Akauntan 1967 bagi kesalahan ini jika didapati bersalah ialah denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun dan bagi kesalahan dan sabitan kali kedua, denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr. Nurmazilah Mahzan berkata. MIA ketika ini sedang dalam proses meminda Akta Akauntan 1967 bagi mewujudkan peruntukan-peruntukan kuasa siasatan dan hukuman yang berat terhadap akauntan yang tidak bertanggungjawab ini.

Tambahnya, akta berkenaan dilihat sudah tidak relevan de­ngan keperluan semasa yang hanya menyaksikan hukuman yang tidak setimpal dengan keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh mereka ini dan kepentingan awam yang harus dipelihara.

“Orang awam dinasihatkan untuk menentukan hanya akauntan bertauliah dan berlesen dilantik untuk menyediakan urusan audit dan perakaunan.

“Mereka juga boleh merujuk pada laman web MIA untuk mendapatkan butir mengenai senarai akauntan yang bertauliah dan berlesen,” katanya.