Ketua Pegawai Eksekutif Air­Asia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata, pihaknya optimis untuk mencatatkan seramai 500,000 pelawat antarabangsa yang akan dibawa oleh syarikat penerbangan tersebut pada tahun depan ke daerah itu.

Katanya, pemindahan Air­Asia X ke Lapangan Terbang Melbourne Avalon akan menyediakan peluang kepada orang ramai untuk bercuti pada kadar tambang yang lebih murah selepas lebih sedekad berope­rasi di Lapangan Terbang Melbourne Tullamarine.

Jelas beliau, pendaratan sulung AirAsia adalah hasil perjanjian 10 tahun di antara syarikat penerbangan Asia Tenggara itu dengan Lapangan Terbang Melbourne Avalon menyaksikan pelaburan bernilai AU$48 juta (RM146 juta) daripada kerajaan Australia dan Victoria bagi membangunkan infrastruktur di sekitar bandar Geelong.

“Perjanjian jangka panjang ini menawarkan kos operasi yang lebih rendah buat kumpulan, pertambahan ketibaan pelancong dan keuntungan bukan aeronautik Lapangan Terbang Melbourne Avalon selain membolehkan jutaan penum­pang terbang pada tambang berpatutan.

“Paling penting, pemindahan ini akan menyediakan akses mudah kepada para pelancong ke bandar pesisir Geelong dan satu daripada tarikan pelancongan utama Australia iaitu The Great Ocean Road,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran penerbangan sulung ke Avalon di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Australia, Andrew Goledzinowski; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Nadda Buranasiri; Pengerusi Eksekutif Linfox Airports, David Fox dan Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Melbourne Avalon, Justin Giddings.

AirAsia X menerusi penerbangan D7218 telah mendarat di terminal tambang rendah, Lapangan Terbang Melbourne Avalon yang merupakan lapangan terbang kedua daerah Victoria di barat daya Melbourne pada pukul 8.20 pagi waktu tempatan dengan kapasiti penumpang sebanyak 80 peratus.

AirAsia X yang merupakan syarikat penerbangan pertama mendarat di lapangan terbang antarabangsa kedua Melbourne, Avalon itu menawarkan tambang promosi ke Avalon pada kadar tambang serendah RM499 bermula hari ini hingga 9 Disember 2018.

Sementara itu, Justin berkata, Lapangan Terbang Melbourne Avalon mengalu-alukan ketibaan pesawat AirAsia yang akan merancakkan lagi pertumbuhan trafik di lapangan terbang itu.

“Proses penambahbaikan infrastruktur masih berjalan di lapangan terbang ini de­ngan satu teknologi baharu iaitu pengimbasan muka dijangka boleh dipasang pada Januari depan,” katanya.

Lapangan Terbang Melbourne Avalon sebenarnya adalah lebih dekat daripada yang disangka dan pengalaman daripada pintu masuk ke pintu pelepasan pesawat akan menjadi lebih mudah dan berpatutan dengan mengambil kira faktor lebuh raya yang kurang trafik, kesesakan di lapangan terbang, tol jalan raya dan tempat letak kereta yang tersedia.

AirAsia buat masa ini berope­ra­si antara Kuala Lumpur ke Perth, Sydney, Gold Coast dan kini ke Melbourne Avalon. – UTUSAN