Laluan baharu ini disusuli de­ngan kejayaan pelancaran laluan secara terus Kuala Lumpur-New Delhi pada Februari 2016 yang kini telah membawa seramai 184,482 penumpang sehingga akhir tahun lalu.

Ketibaan pesawat Airbus A330-300s dengan nombor pe­nerbangan D7 184 yang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jaipur tepat pukul 10.30 malam waktu tempatan semalam menjadikan AirAsia X sebagai satu-satunya syarikat tambang murah pertama menawarkan penerbangan tanpa henti di antara Kuala Lumpur dengan Jaipur.

AirAsia X menawarkan kekerapan penerbangan sebanyak empat kali seminggu, sekali gus memperluaskan rangkaian syarikat penerbangan berkenaan di Asia Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, langkah dilaksanakan oleh pihaknya adalah sebahagian daripada matlamat untuk memenuhi permintaan perhubungan serantau ke destinasi lain di India.

“Kami bersedia untuk menambah laluan penerbangan di India sekiranya mendapat kebenaran daripada kerajaan negara ini. Ketika ini, kami berdepan kesukaran untuk mendapatkan slot penerbangan di India.

“Menerusi pertambahan da­lam operasi penerbangan dari lapangan terbang di seluruh India, perhubungan serantau ke negara ini akan dapat dipertingkatkan,” katanya ketika ditemui dalam majlis meraikan penerba­ngan sulung dari Kuala Lumpur ke Jaipur di sini hari ini.

Turut hadir pada acara ber­kenaan ialah Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Hidayah Abdul Hamid; Pengarah Pelancongan Rajasthan, Pradeep Kumar Borar dan Pengurus Lapangan Terbang Jaipur, Jaideep Singh Balhara.– UTUSAN