Seiring dengan pengumuman kerjasama baru-baru ini, di antara Kementerian Pelancongan Republik Indonesia dan AirAsia, pameran pelancongan pada hujung minggu ini akan dianjurkan oleh kedua-dua pihak dan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan AirAsia untuk memacu sektor pelancongan Indonesia dan Malaysia melalui rangkaian yang luas.

Para pengunjung boleh mendapatkan tambang eksklusif itu hanya menerusi tempahan di pameran pelancongan tersebut untuk tempoh perjalanan dari 1 Mac hingga 21 November 2018.

Ketua Komersial AirAsia Berhad, Spencer Lee berkata, “Kepulauan Indonesia adalah satu daripada kebanggaan ASEAN dan kami bangga dapat menerbangkan para tetamu ke 15 Bandar yang berbeza di negara itu.

“Melalui pameran pelancongan ini, kami berharap dapat menarik dan menggalakkan lebih ramai tetamu untuk menerokai keindahan Indonesia dengan AirAsia.

“Permintaan perjalanan antara Indonesia dan Malaysia amat positif dan kami berharap untuk meningkatkan lagi ketibaan pelancong bagi kedua-dua negara melalui rangkaian luas dan tawaran hebat kami,” katanya dalam Kenyataan di sini hari ini.

AirAsia menghubungkan Malaysia dengan Indonesia melalui lebih daripada 350 kali penerbangan seminggu ke Banda Aceh, Bandung, Bali, Jakarta, Lombok, Medan, Pekanbaru, Palembang, Padang, Pontianak, Semarang, Solo, Surabaya, Makassar, dan Yogyakarta.

AirAsia juga menawarkan laluan unik seperti Kuching-Pontianak, Kuala Lumpur-Semarang, Kuala Lumpur-Solo, Kuala Lumpur-Makassar dan lain-lain.

Selain beroperasi dari hab utamanya di Kuala Lumpur, syarikat penerbangan itu juga menerbangkan para tetamu dari Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuching ke Indonesia dan baru-baru ini telah menambah lebih banyak kekerapan ke beberapa laluan untuk memenuhi permintaan perjalanan yang kian meningkat untuk Indonesia dan Malaysia.

Terdapat juga persembahan khas dan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan untuk para pengunjung di Pameran Pelancongan AirAsia Wonderful Indonesia 2017.

Rakan-rakan niaga AirAsia seperti AirAsia BIG dan AirAsiaGo, serta agensi pelancongan lain juga akan mengambil bahagian dalam pameran ini untuk menawarkan pelbagai pakej dengan harga yang hebat.

Promosi tambang termasuk semua yang tercatat adalah untuk perjalanan sehala sahaja. Tertakluk kepada terma dan syarat. - UTUSAN ONLINE