Ketua Komersial Air­Asia, Spencer Lee berkata, penerbangan sulung syarikat tersebut dari Malaysia ke Nha Trang juga telah berjaya mencatatkan muatan penerbangan yang positif iaitu sebanyak 93 peratus dan telah disambut meriah dengan pancuran air sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Cam Ranh Nha Trang.

Menurutnya, Vietnam merupakan satu daripada pasaran utama AirAsia dalam rantau ASEAN dan berbesar hati dapat menghubungkan lebih banyak destinasi antara Malaysia dan Vietnam.

“Sebagai syarikat pe­ner­bangan ASEAN, kami berbangga untuk mene­-
ruskan komitmen me­ma­cu ASEAN dan menghubungkan rantau ini terus ke Nha Trang dengan harapan untuk berkongsi keindahan khazanah ASEAN melalui penerbangan harian terus dari Kuala Lumpur memandangkan tahun ini kita meraikan ulang tahun ke-50 ASEAN.

“Nha Trang adalah penambahan terbaik kepada rangkaian kami dan berpotensi untuk menja­di destinasi popular, jadi kami telah meningkatkan lalu Fly-Thru bagi memberi manfaat kepada pelancong dari ASEAN dan tempat lain untuk melawat bandar menarik ini.

“Kami juga berharap penduduk dari wilayah Khanh Hoa akan mengambil kesempatan ini untuk melawat Malaysia, ASEAN dan serata dunia melalui rangkaian luas kami yang meliputi lebih 120 destinasi di 27 negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nha Trang merupakan ibu negeri wilayah Khanh Hoa adalah sebuah bandar perairan yang mempunyai pelbagai daya tarikan warisan dalam bandar yang serba moden selain terke­nal dengan teluk-teluk indah dan deretan pasir putih di pesisiran pantai sepanjang enam kilometer.

Selain itu, Nha Trang juga mempunyai peninggalan sejarah etnik minoriti Cham yang terletak di atas bukit berhadapan perkampungan nelayan di samping Taman Hiburan Vinpearl Land yang memegang Rekod Dunia Guinness dengan sistem kereta kabel sepanjang 3,320 meter berserta panorama laut yang menakjubkan.

Selain Nha Trang, AirAsia juga menghubungkan penumpang ke bandar-bandar lain di Vietnam termasuk Ho Chi Minh City dengan kekerapan 42 kali penerbangan seminggu, Da Nang (10 kali penerbangan seminggu) dan Hanoi (11 kali penerbangan seminggu).

Penumpang boleh menggunakan perkhidmatan penerbangan sambungan Fly-Thru yang mana bagasi berdaftar mereka akan dihantar terus ke destinasi terakhir tanpa perlu melalui pelepasan imigresen di hab transit.

Melalui perkhidmatan tambahan ini, pelanggan kini boleh melawat Nha Trang dari lapan negara dan 23 bandar termasuk Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi, Singapura, Jakarta dan banyak lagi.