Keyakinan beliau itu disua­rakan selepas AirAsia mengumumkan penamatan usaha sama dengan rakan kongsi di Vietnam untuk menubuhkan syarikat penerbangan tambang murah di negara tersebut.

Fernandes dalam ciapan di Twitter berkata, terlalu banyak perancangan yang melibatkan Vietnam.

“Saya masih optimis AirAsia akan berada di Vietnam menje­lang hujung tahun ini. Lihat masa yang ada dan akan membuat pilihan yang tepat,” kata­nya di sini hari ini.

Semalam, anak syarikat milik penuh AirAsia, AirAsia Investment Limited (AAIL) bersama-sama dengan Gumin Company Ltd. dan Hai Au Aviation Joint Stock Company (HAA) bersetuju untuk menamatkan dan melepaskan satu sama lain daripada semua tanggungan berhubung usaha sama yang dicadangkan di Vietnam, berkuat kuasa serta merta.

Bagaimanapun, Air­Asia ma­sih berminat untuk mengendalikan sebuah syarikat penerba­ngan tambang murah di Vietnam kerana lokasi geografi yang menggalakkan selain daripada untuk mengembangkan pasaran penerbangan dan potensi pertumbuhan keseluruhan.

Usaha sama bagi meneroka pasaran Vietnam diumumkan pada Mac 2017 dengan kos RM194 juta bagi menawarkan perkhidmatan penerbangan berkualiti tinggi pada harga berpatutan kepada rakyat Vietnam dan pelancong asing.

Menurut AirAsia, AAIL akan memegang 30 juta saham de­ngan nilai RM58.2 juta mewakili 30 peratus kepentingan sementara Gumin memegang 69.99 juta saham (69.9 peratus) dalam HAA dan selebihnya milik Ketua Pegawai Eksekutif Thien Minh Travel Joint Stock Company, Tran Trong Kien.

Pada Disember 2018, AirAsia mengesahkan hasratnya untuk menubuhkan usaha sama di Viet­nam apabila menandata­ngani memorandum kerjasama dengan Tran dan HAA di Hanoi semasa Sidang Kemuncak Perjalanan dan Pelancongan Vietnam 2018.