Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pembelian itu menjadikan pegangan saham CAE dalam AACE sebanyak 50 peratus.

Jelas beliau, CAE akan mempunyai kawalan penuh untuk tiga pusat latihan yang dimiliki oleh AACE yang terletak di Sepang, Malaysia; Singapura; Ho Chi Minh City, Vietnam selain saham dalam Akademi Latihan Pe­nerba­ngan­ Fili­pina (PAAT) yang merupakan usaha sama antara AACE dan Cebu Pacific.

“CAE akan kekal menjadi rakan latihan eksklusif Kumpulan AirAsia. Syarikat te­lah menyambung kontrak sedia ada bagi keperluan latihan AirAsia dan sekutu untuk semua jenis kapal terbang sehingga tahun 2036.

“AirAsia secara berte­rusan akan melupuskan pelaburan bukan teras tertakluk kepada kelulusan lembaga pe­ngarah. Penjualan ke­pen­tingan dalam AACE ini merupakan pelan jangka panjang untuk kecairan aset syarikat,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Presiden dan CEO CAE, Marc Parent membe­ritahu CAE dan AirAsia telah menjalin kerjasama erat sejak tahun 2004 dan menubuhkan AACE secara bersama pada 2011.

Katanya, perjanjian berkenaan memberi ruang kepada kerjasama yang lebih erat pada masa depan selain memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua belah pihak.

“Selain itu, AirAsia boleh me­numpukan perhatian kepada perniagaan teras dengan memberikan sepenuhnya CAE untuk mengendalikan program latihan mereka.

“Secara tidak langsung, CAE dapat mengembangkan penga­ruhnya dalam sektor penerbangan di rantau Asia Pasifik. Kami berbangga dengan pencapaian dalam mewujudkan AACE bersama AirAsia,” ujarnya.

AACE menyediakan latihan ke­pada juruterbang, krew kabin, jurutera penyelenggaraan, juru­teknik dan kakitangan lapangan untuk platform Airbus A320, A330 dan Boeing B737NG.