Di bawah perjanjian itu, FLY Leasing Limited (Fly), Incline B Aviation Limited Partnership (Incline) dan Nomira Babcock and Brown (NBB) akan memperoleh portfolio 84 buah pesawat dan 14 enjin yang mana 79 pesawat dan 14 enjin akan dipajak semula kepada AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, Fly dan Incline juga telah memeterai perjanjian bagi mendapatkan 48 buah pesawat untuk diserahkan kepada AirAsia, serta pilihan tambahan untuk menghantar 50 buah lagi pesawat.

“Jualan ini adalah sejajar dengan strategi kami untuk melupuskan aset dan perniagaan bukan teras, satu usaha yang telah kami laksanakan sepanjang enam bulan lalu bermula dengan pusat latihan, unit pengendalian darat dan kini unit pajakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE