AirAsia X Malaysia akan mengendalikan penerba­ngan dua kali sehari, malah laluan berkenaan juga akan menjadi perkhidmatan antarabangsa pertama buat lapangan terbang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sejumlah 500,000 penumpang antarabangsa dijangka menggunakan Avalon Airport pada tahun pertama operasi.

“Sejak penerbangan sulung pada 2007, AirAsia X telah menerbangkan lebih 30 juta pe­langgan termasuk 6.1 juta warga Australia, pelancong dan pelajar untuk melihat dunia luar.

“Perpindahan la­pa­ngan terbang ini akan membantu kami mengekalkan pe­nerbangan tambang rendah kepada warga Australia untuk ke ASEAN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ke­tua Pegawai Eksekutif Avalon Airport, David Fox berkata, perjanjian selama 10 tahun tersebut adalah bagi menampung pertumbuhan pesat Air­Asia X di negara itu.

“Ini merupakan perjanjian pertama seumpamanya di Australia, malah bakal menyediakan peluang yang unik dengan tambang rendah untuk mengakses lebih 130 destinasi di seluruh Asia.

“Avalon Airport mudah diakses dari Melbourne, Geelong, Ballarat dan kawasan sekitar, digabungkan dengan tambang rendah, ia menawarkan pengalaman terbaik buat pelanggan,” katanya.

AirAsia akan meneruskan operasi ke Melbourne di Tullamarine Airport sehingga pembinaan terminal baharu di Avalon Airport siap sepenuhnya menjelang peng­hujung tahun ini.