AHMAD FUAAD
AHMAD FUAAD

Malakoff memberitahu, pelantikan itu berkuat kuasa 1 Oktober 2017 bagi menggantikan Datuk Azhar Abdul Hamid yang kini Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV).

“Ahmad Fuaad mula menerajui Proton pada 1 April 2016 dan juga ahli lembaga pengarah Kumpulan Proton sehingga 30 September 2017. Beliau sebelum itu, merupakan Ketua Pegawai Operasi (kewangan dan Korporat) dan Ketua Pegawai Kewangan DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom) pada Ogos 2013 hingga Mac 2016.

“Selain itu, beliau merupakan ahli lembaga pengarah dalam anak syarikat DRB-Hicom seperti Pos Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Edaran Otomobil Na­sional Ber­had, Horsedale Development Berhad, Glenmarie Properties Sdn. Bhd. dan Alam Flora Sdn. Bhd.,” jelasnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini ha­ri ini.

Pada 30 Jun lalu, Azhar meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Malakoff untuk menerajui FGV bagi menggantikan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad. Azhar dilantik ke jawatan tersebut pada 8 September lalu.

DRB-Hicom pula pada Jumaat lalu mengumumkan, Ahmad Fuaad melepaskan jawatan CEO Proton dalam proses penyusunan semula pengurusan syarikat de­ngan Zhejiang Geely Holding Berhad (Geely) bakal menamakan pegawainya untuk jawatan itu.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar dalam kenyataannya itu memaklumkan, apabila aktiviti korporat syarikat itu selesai, Geely Holding akan menamakan seorang calon yang sesuai sebagai CEO Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB).

AZHAR ABDUL HAMID
AZHAR ABDUL HAMID

Antara intipati perjanjian muktamad yang ditandatangani DRB-Hicom dan Geely Holding ialah membolehkan syarikat China itu bukan sahaja melabur di dalam Kumpulan Proton tetapi juga berkongsi kepakaran mereka dalam pengeluaran, operasi, pembuatan dan pemasaran terutama di PONSB.

Kedua-duanya memeterai perjanjian dasar pada 24 Mei 2017 untuk membolehkan pembuat kereta China itu menjadi rakan strategik asing Proton. Geely membayar RM460.30 juta untuk ekuiti 49.9 peratus itu.

Pada 23 Jun lalu, kedua-dua pihak menandatangani perjanjian muktamad di Kuala Lumpur, disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.