Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman
Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman berkata, usaha itu adalah bagi menangani defisit imbangan dagangan dan kebergantungan negara kepada import makanan.

Katanya, Agrobank menyediakan penyelesaian yang komprehensif bagi pertanian merangkumi pembiayaan bagi aktiviti huluan dan hiliran termasuk pengeluaran, pemprosesan, pengedaran hingga runcit.

“Dengan permintaan pertanian yang semakin meningkat dalam pasaran tempatan dan eksport, selain bagi memastikan jaminan bekalan makanan negara, prospek sektor pertanian kekal positif.

“Kami menawarkan bantuan da­ripada penanaman, penuaian, pemprosesan, pengilangan, lojistik, malah untuk bina kilang atau dapatkan tanah sekali pun selagi ia mematuhi syarat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Malaysia banyak bergantung kepada import makanan menyebabkan ketidakseimbangan dagangan bernilai RM18.1 bilion pada tahun 2015 iaitu import RM45.4 bilion mengatasi eksport RM27.3 bilion.

Wan Mohd Fadzmi berkata, pengeluaran makanan merupakan portfolio paling pesat berkembang buat bank komersial itu dan sehingga kini merangkumi 25 peratus perniagaan kerana asasnya masih kecil.

Katanya, portfolio lain selain makanan ialah pembiayaan peribadi antara 25 hingga 30 peratus termasuk dimandatkan dan tidak dimandatkan, manakala bakinya industri komoditi terutama sawit.

Menurut beliau lagi, penyelesaian paling penting ke arah membantu meningkatkan produktiviti pengeluaran agrikultur adalah dengan memperkasa keupayaan teknologi baharu yang berdaya maju.