MASAAT AWADZ
MASAAT AWADZ

Menanggung tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Masaat Awadz berkata, prestasi positif itu didorong oleh peningkatan pasaran serta permintaan untuk pengeluaran pertanian dan industri asas tani.

Menurut beliau, Agrobank masih kekal menerajui pembiayaan untuk sektor agromakanan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM3.5 bilion, meningkat 12.9 peratus berbanding RM3.1 bilion pada 2016.

“Peningkatan memberangsangkan ini selaras dengan komitmen Agrobank yang sentiasa proaktif dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang relevan dan bersesuaian dengan keperluan pelanggan.

“Walaupun dalam situasi ekonomi yang tidak menentu permintaan terhadap makanan tetap ada. Oleh itu, prospek untuk pertanian dan agromakanan akan terus mening­kat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Masaat menambah, fokus Agrobank terhadap industri agromakanan negara adalah seiring dengan hasrat dan sasaran kerajaan yang termaktub dalam Dasar Agromakanan Negara 2011-2020.

Jelasnya, dasar itu memastikan bekalan makanan negara terjamin serta membantu mengembangkan perniagaan pertanian selain mahu mengurangkan kebergantungan ne­gara terhadap makanan import.

Katanya lagi, rekod positif yang ditunjukkan untuk segmen agromakanan memberikan keyakinan kepada Agrobank untuk terus memberikan fokus kepada segmen berkenaan.

“Agromakanan menyumbang RM36.5 bi­lion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bagi memenuhi keperluan tersebut kami memperkenalkan pusat pembiayaan khusus untuk wilayah agro yang strategik seperti Pusat Pembiayaan Korporat di Kuching, Sarawak dan Pusat Pembiayaan Komersial di Hutan Melintang, Perak.

“Pusat ini diperkenalkan di kawasan yang mempunyai impak agro yang tinggi dan khusus untuk memberi khidmat nasihat untuk pembiayaan berskala sederhana dan besar,” ujarnya.