Pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran berjumlah RM1.1 bilion yang akan dimanfaatkan lebih 870,000 pemegang unit yang melanggan 18.8 bilion unit ASW 2020.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, bagi tempoh itu, ASW 2020 dijangka memperoleh jumlah pendapatan kasar sebanyak RM1.38 bilion dengan keuntungan daripada penjualan saham akan menyumbang sebanyak RM718.7 juta atau 52 peratus.

Katanya, pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM459.8 juta atau 33.3 peratus kepada jumlah pendapatan kasar tersebut manakala selebihnya, RM203.5 juta atau 14.7 peratus diperolehi daripada pelaburan dalam sukuk atau deposit tetap Islamik serta pendapatan berfaedah.

“Walaupun dalam pasaran yang mencabar pada awal tahun kewangan, PNB masih berupaya untuk memberikan pulangan mapan dan berdaya saing kepada pemegang unit tabung ASW 2020.

“Ini kerana pada permulaan tahun kewangan ASW 2020, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) telah terjejas teruk oleh tempoh ketidakpastian yang wujud daripada keputusan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat dan peningkatan kadar dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada Disember 2016, yang mengakibatkan aliran keluar portfolio dari pasaran ekuiti dan bon.

“Keadaan ini seterusnya memberi tekanan ke atas kebanyakan mata wang utama dan serantau, termasuk ringgit. Sekalipun FBM KLCI pulih pada awal 2017, ia hanya mencatatkan kenaikan 4.9 peratus pada tahun kewangan ASW 2020, ditutup pada 1,760.03 mata pada 31 Julai 2017, berbanding 1,678.06 mata pada 31 Ogos 2016,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.