Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari (gambar) berkata agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat perlu memahami secara mendalam mengenai GST sebelum memberi penjelasan kepada orang ramai mengenainya.

Beliau berkata agensi-agensi kementerian seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) giat turun padang memberi penjelasan kepada rakyat mengenai GST dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Bagi pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia, usaha penyebaran dan penyaluran maklumat berkaitan GST di pelbagai medium sedang giat diteruskan.

“Semoga dalam tempoh beberapa bulan akan datang, pemahaman pengguna mengenai GST dapat dipertingkat dan memberi manfaat,” katanya hari ini.

Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan program Kuasa Pengguna 1Pengguna 1Suara bagi menangani peningkatan kos sara hidup dekat sini.

Program Kuasa Pengguna 1Pengguna 1Suara anjuran Persatuan Pengguna Terengganu merupakan program jelajah daerah yanng ke-11 dan terakhir bagi tahun ini. – BERNAMA