Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, kebanyakkan aduan diterima pihaknya adalah ketidakpuasan hati terhadap isu harga iaitu 21 peratus, kurang liputan Unifi (16 peratus), gangguan perkhidmatan Unifi (13 peratus), pertikaian bil dan caj serta penyampaian perkhidmatan masing-masing 14 peratus dan lain-lain kes 22 peratus.

"Sebagai penyedia jalur lebar talian tetap terbesar negara yang menguasai 85.97 peratus pasaran, kegagalan TM mengambil penambahbaikan memberi kesan tidak baik kepada orang ramai yang bergantung penuh untuk menjalankan aktiviti seharian.

"Oleh itu, SKMM memandang serius berhubung kemerosotan penyampaian TM dan menegaskan ia perlu diperbaiki segera, hal ini kerana para pengguna menuntut perkhidmatan lebih setimpal dengan bayaran dikenakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut SKMM lagi, pendekatan TM dalam menangani aduan para pengguna dengan menjadikan isu kekangan teknikal sebagai alasan dan meminta untuk bersabar merupakan satu tindakan tidak boleh diterima.

"Sebagai contoh semalam, TM telah memaklumkan kepada para pelanggan mengenai perkhidmatan gangguan Unifi, namun gagal menyatakan sebab perkara itu berlaku. Membiarkan pengguna tertanya-tanya, bukanlah cara sesebuah syarikat dihormati seperti TM," ujar kenyataan itu.-UTUSAN ONLINE