Dalam unjuran ter­-
baharu Laporan Kemas Kini Prospek Bank Pembangunan Asia (ADB) 2017, ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan 5.4 peratus berbanding 4.7 peratus dalam unjuran awal yang dibuat Julai lalu manakala Hong Kong pula mencatat 3.6 pe­ratus berbanding dua peratus.

Laporan itu menunjukkan pemulihan dagangan di peringkat global terutama dari segi eksport banyak membantu merangsang pertumbuhan ekonomi di kedua-dua buah negara berkenaan.

Jelas laporan itu, rantau Asia Tenggara akan mencatat pertumbuhan kukuh daripada lima peratus pada 2017 manakala 5.1 peratus pada 2018 berban­ding unjuran sebelum ini iaitu 4.8 peratus dan lima peratus disokong terutama peningkatan eksport dari Singapura dan Malaysia.

“Negara ekonomi seperti Indonesia, Malaysia, Thailand dan Taiwan, masih terdapat ruang untuk dasar akomodatif manakala di Filipina dan Korea Selatan, rangsangan mungkin kurang jelas kerana peningkatan pertumbuhan yang berlarutan dan tekanan harga semakin meningkat.

“Rantau ini perlu lebih agresif membina lebih banyak infrastruktur termasuk kerjasama awam-swasta (PPP). Ini kerana lebih daripada setengah negara di Asia kurang projek yang melibatkan PPP,” katanya dalam laporan yang dikeluarkan hari ini di Hong Kong.

Berdasarkan laporan itu, ia menunjukkan rantau Asia memerlukan pelaburan dianggarkan mencecah AS$1.7 trilion (RM7.15 trilion) setahun menjelang 2030 bagi mengekalkan momentum pertumbuhan, mengurangkan kemiskinan dan tindak balas kepada perubahan cuaca.

Dengan merapatkan jurang permintaan infrastruktur menerusi PPP akan mengubah sektor kerjasama sektor awam dan swasta dalam penyampaian perkhidmatan dan infrastruktur awam.

Kajian analisis mengenai penyertaan swasta dalam infrastruktur menunjukkan jumlah projek PPP dalam rantau membangun Asia berkembang 11 peratus setahun daripada 1991 hingga 2015.

Malah, transaksi PPP banyak tertumpu di Asia Timur dan Selatan dengan lebih 70 peratus manakala 90 peratus lagi di China dan India. Di rantau Asia Tenggara pula, kebanyakan projek PPP terdapat di Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam. Asia Tengah dan Pasifik pula menyumbang dua peratus daripada projek PPP.

Ketua Ekonomi ADB, Yasuyuki Sawada yang membentangkan laporan tersebut berkata, ADB mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negara membangun Asia pada 5.9 peratus tahun ini dan 5.8 peratus pada 2018.

Katanya, prospek pertumbuhan bagi negara membangun Asia semakin bertambah baik, disokong oleh kebangkitan semula perdagangan dunia dan momentum yang kukuh dari China.

“Untuk itu, negara-negara dalam rantau membangun Asia perlu mengambil manfaat daripada prospek ekonomi jangka pendek bagi melaksanakan pembaharuan yang boleh me­ningkatkan produktiviti.

“Dalam masa sama, negara-negara di rantau ini juga digalakkan melabur dalam infrastruktur yang sememangnya amat diperlukan dan mengekalkan pengurusan makro ekonomi yang mantap untuk membantu meningkatkan potensi pertumbuhan jangka panjang,” katanya.