Ketua Pegawai Eksekutif My­HSR Corp., Datuk Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, kaji selidik itu dilakukan sempena latihan pemeriksaan awam yang dijalankan pihaknya selama tiga bulan berakhir 31 Januari lalu.

Beliau berkata, latihan pe­meriksaan awam itu menerima le­bih 35,000 respons daripada orang awam dan merupakan yang tertinggi diterima dalam kala­ngan projek-projek pengangkutan awam berasaskan rel di Malaysia.

“Sebahagian besar daripada jumlah responden diwakili oleh kumpulan berusia antara 21 hingga 40 tahun dengan bidang pen­ting yang disenaraikan ialah potensi manfaat yang dibawa oleh projek dari segi memudahkan perjalanan dan pembangunan ekonomi, proses pengambilan tanah, lokasi stesen dan penjajaran, serta langkah-langkah pemuliharaan alam sekitar yang dilakukan oleh projek ini,” katanya dalam kenyata­an di sini hari ini.

Katanya, latihan pemeriksaan awam itu juga menyediakan peluang untuk orang ramai melihat dan mendapatkan maklumat mengenai projek HSR KL-SG se­perti penjajaran yang dirancang, lokasi stesen, ciri-ciri stesen biasa dan susun atur, pelan pengambilan tanah, data teknikal kereta api dan Program Pembangunan Sosio-ekonomi (SEDP) di gerai-gerai pameran yang terlibat.

“Lebih 130 gerai telah ditubuhkan di lokasi-lokasi utama di sepanjang jajaran di antara Kuala Lumpur dan Iskandar Puteri.

“Kami gembira dengan soko­ngan yang diterima oleh projek HSR KL-SG hasil daripada pelaksanaan Pemeriksaan Awam. Pasukan kami juga dapat mengumpulkan pandangan penting mengenai bagaimana untuk meningkatkan lagi projek tersebut dan ia juga sebagai sebahagian daripada matlamat kami untuk terus melibatkan orang ramai dari semasa ke semasa untuk berkongsi maklumat terkini mengenai projek itu,” katanya.

Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek HSR KL-SG juga turut dipamerkan di gerai Pemeriksaan Awam sebagai sebahagian daripada paparan wajib satu untuk tempoh satu bulan bermula dari 27 Disember 2017 hingga 25 Januari 2018.

“Kajian tersebut kini boleh di­semak di laman web MyHSR Corp sehingga 9 Februari 2018 untuk ulasan dan maklum balas,” katanya.

Projek HSR KL-SG ba­kal meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai antara negara yang mampu menyediakan sistem pe­ngangkutan bertaraf dunia.

Dijangka siap menjelang 2026, projek berkenaan menjadi pe­nanda aras kepada hasrat Malaysia untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi.