SHELDON FERNANDEZ
SHELDON FERNANDEZ

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, statistik itu menyangkal peningkatan persepsi bahawa lebih ramai rakyat Malaysia akan memi­lih untuk menyewa daripada membeli hartanah kediaman sendiri.

Katanya, rumah melambangkan kestabilan, keselamatan dan merupakan kelas aset utama untuk pengumpulan kekayaan me­lalui peningkatan modal dan hasil sewa.

“Walaupun kos hidup kian meningkat, kadar penolakan pinjaman makin tinggi, tambahan pula dengan isu kemampuan, rakyat Malaysia termasuk generasi muda masih menjadikan pemilikan rumah sebagai satu aspirasi gaya hidup utama.

“Ini mungkin dise­babkan tekanan daripada ahli keluarga atau rakan sebaya mahupun daripada persepsi tradisional bahawa memiliki rumah merupakan jaminan yang kukuh buat masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Seramai 817 res­ponden dari Malaysia dan 1,900 responden dari Asia Tenggara telah menyertai Kaji Selidik Sentimen Pengguna separuh kedua 2017.

Menurut Fernandez, tinjauan PropertyGuru itu juga menunjukkan kebanyakan mereka yang sedang menyewa juga bercita-cita untuk membeli rumah jika mereka mampu.

Jelasnya, bagi mereka yang pilih untuk menyewa, lokasi yang berdekatan dengan pe­jabat atau tempat kerja menjadi kriteria yang paling penting (71 pe­ratus) diikuti de­ngan pertimbangan keluar­ga (55 peratus) dan ak­ses pe­ngangkutan awam (52 peratus).

“Kediaman bertingkat tinggi terutamanya kondominium dan pa­ng­sapuri perkhidmatan menjadi pilihan utama penyewa.

“Penyewa menganggap sewa bulanan sekitar RM501-RM800 untuk sebuah bilik adalah bajet yang realistik, manakala mereka yang ingin menyewa rumah berasa sewa bulanan antara RM801-RM1,100 adalah angka yang ideal,” katanya.