Walaupun dikritik hebat oleh sesetengah pihak yang meramalkan kejatuhan mereka namun mereka kekal kukuh dari tahun ke tahun. Sehingga hari ini, Apple adalah satu-satunya jenama peranti yang tidak perlu berperang dengan pesaing mereka tentang harga.

Letak semahal mana pun harga bagi sebuah iPhone, MacBook ataupun iPad, ramai yang akan beratur membeli­nya. Ini kelebihan yang mereka ada.

Di Apple, pemasaran mereka tidak begitu kompleks sebenarnya. Pesanan yang cuba di­sampaikan kepada pasaran jelas walaupun kandungan yang dibuat adalah ringkas, mudah tanpa ayat yang berjela-jela.

Saya banyak mengkaji tentang pemasaran yang dilakukan oleh Apple secara tidak langsung terutamanya mela­lui pembacaan dan juga pemerhatian rapi. Ini taktik yang dapat saya peroleh daripada nota yang ditulis.

Misteri

Apple memang sinonim dengan misteri. Mereka tidak akan berkongsi apa-apa maklumat langsung tentang operasi mahupun produk yang bakal dilancarkan melainkan pada hari pelancaran sahaja.

Semua yang kita dengar dan baca adalah spekulasi semata-mata. Mana-mana jenama, malah individu sekalipun yang berkelakuan misteri, orang ramai pasti ingin mengetahui lebih lanjut tentang mereka. Faktor ini membuatkan orang ramai ‘tertarik’ kepada mereka.

Penggunaan Visual

Apple hampir tidak pernah menggunakan ayat yang panjang berjela untuk setiap kandungan yang dibuat bagi pemasaran. Sebaliknya mereka banyak mengambil ke­sempatan ke atas teknik visual untuk memudahkan para pengguna melihat dan memahami pesanan yang cuba di­sampaikan kurang dari tujuh saat.

Cuba anda lihat iklan Apple tidak kira sama ada poster ataupun video, tidak banyak perkataan yang ada di dalamnya.

Permainan Emosi

Apple tahu para pengguna mereka adalah manusia dan manusia akan memberikan tindak balas sekiranya sesuatu yang mereka lihat dan baca berbentuk emosi. Jadi, setiap kan­dungan mereka akan mempu­nyai elemen orang di dalamnya.

Berikan Pengalaman, Bukan Produk

Lihat sahaja bagaimana kua­liti gambar yang ditunjukkan oleh Apple melalui papan-papan tanda mereka di sekitar ibu kota. Gambar-gambar ini seolah-olah memberikan kita sedikit pengalaman bagaimana rasanya berada di dalam ombak, di padang pasir dan sebagainya. Dan ini semua diambil oleh iPhone.

Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Para pengguna sanggup datang dari jauh dan me­nyimpan wang begitu banyak semata-mata untuk membeli sebuah iPhone.

Mengapa? Kerana mereka ingin membeli pengalaman dan nilai yang pasti tidak akan me­rugikan. Mereka ingin menggunakan iPhone dalam jangka masa yang lama, tidak perlu risau untuk kena baiki setiap masa dan berasa bangga menggunakannya.

Mempunyai Komuniti

Apple mempunyai pengikut tegar mereka tersendiri di seluruh dunia, yang sangat setia menggunakan peranti-peranti Apple. Jenama mereka dibentuk agar menjadi satu ‘ajaran’ atau cult.

Para pengikut mereka amat setia, sanggup bermati-matian ‘berperang’ dengan pengikut pesaing mereka Android dalam menegakkan sesuatu perkara.

Mudah Dan Senang Difahami

Penggunaan perkataan dan ayat-ayat yang mudah difahami. Mereka faham tentang kepelbagaian tahap pemikiran para pengguna Apple, jadi mereka memilih perkataan dan ayat yang difahami semua peringkat IQ.

Kerjasama Dengan Penerbitan Luar

Mereka amat rapat bekerjasama dengan portal, laman web, majalah dan penerbitan luar dalam perkongsian maklumat, petua dan apa sahaja berita mengenai perkembangan terbaharu Apple. Ini banyak membantu mengembangkan lagi jenama Apple di kalangan pengikut penerbitan tersebut.

Pemasaran Tradisional dan Perhubungan Awam

Memandangkan Apple begitu memandang berat tentang rahsia produk dan rahsia maklumat-maklumat penting yang ada agar tidak jatuh di tangan orang luar, mereka bertindak untuk tidak aktif dalam pemasaran melalui media sosial dan enjin pencarian.

Terlalu banyak spy-ware. Sebaliknya mereka banyak memberikan kandungan mereka kepada rakan-rakan niaga sama ada di syarikat-syarikat te­lekomunikasi di seluruh negara, agensi-agensi perhubungan awam, majalah, akhbar, para penulis blog, individu-individu berpengaruh di internet dan sebagainya untuk disebarkan.

Mereka lebih gemar menggunakan pemasaran tradisional kerana ia ternyata begitu efektif sekali dalam mencuri perhatian.

Bagi Apple, yang penting bukanlah bagaimana untuk menyebarkan sesuatu kandu­ngan itu tetapi kualiti kandu­ngan yang dibuat tadi. Itu yang membezakan mereka dengan jenama lain.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti panda­ngan beliau di azleen.com