Biasanya ia akan mencecah lebih 25 hingga 40 status sebenarnya bergantung kepada jumlah individu dan jenama yang anda ikut. Kebanyakan status ini biasanya jenis yang agak ‘masuk air’ dan tidak serius.

Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube mempunyai banyak status sampah sebegini. Bukan untuk gelak ketawa sahaja, terdapat juga status yang berbentuk kutukan, hinaan, cabar-mencabar yang berbaur politik dan video-video tular yang tiada penghujungnya.

Berbeza pula di LinkedIn yang juga mempunyai ‘sampah’ tersendiri. Banyak status yang menceritakan bagaimana hebatnya diri sendiri, poster yang dikitar semula, pendapat-pendapat yang bernas tetapi tidak rea­listik, sibuk dengan benda-benda masa hadapan yang terlalu jauh dan lupakan tentang kehidupan mereka hari ini, perkataan dan istilah yang terlalu teknikal agar nampak hebat serta pelbagai lagi.

Bagi sesetengah individu, ini penting agar penjenamaan diri sendiri dilihat sebagai pemimpin dan pakar dalam bidang tertentu supaya diterima oleh golongan-golongan elit industri mereka. Bagi pemasar digital, ini semua dikenali sebagai noise atau benda-benda menyumbang kepada keadaan bising. Ia dikatakan sebegitu kerana apabila keadaan menjadi bising, tumpuan kita kepada perkara yang benar-benar penting akan terganggu.

Tidak banyak jenama yang tahu bagaimana untuk mengatasi masalah ini selain daripada membayar rangkaian media sosial dan mengiklankan produk mereka agar sentiasa kelihatan di mana sahaja setiap masa. Ada caranya, guna dua strategi ini.

Muat naik status yang menceritakan tentang ‘Bagaimana Untuk Anda perlu lebih menitikberatkan status.

Muat naik status yang menitikberatkan status atau kandungan digital berbentuk: Bagaimana Untuk, Guna Langkah-langkah Ini Untuk, Empat Cara Terbaik Bagi dan yang sewaktu dengannya.

Dalam Bahasa Inggeris, ini dikenali sebagai How-To. Tulis sesuatu yang dapat membantu pembaca dan orang ramai menyelesaikan sesuatu masalah, memudahkan kehidupan mereka, me­ringankan beban tentang sesuatu, menambahkan pendapatan dan sebagainya.

Tetapi ingat, ia perlu sesuai dengan industri anda dan tidak tersasar jauh. Mengapa ia perlu sesuai dengan apa yang anda jual?

Kerana anda mahu mereka secara tidak sedar tahu dan faham yang produk anda mampu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi sekarang. Pastikan juga petua-petua yang ditulis itu tidak terdapat di mana-mana, agar tiada kegiatan plagiat dilakukan.

Muat naik status berbentuk statistik yang spesifik tetapi relevan.

Di luar sana, ramai yang tidak sedar yang mereka amat gemar membaca sesuatu yang mereka tidak tahu. Ini adalah realiti.

Kebanyakan jenama besar tahu tentang perkara ini dan mereka mengambil kesempatan untuk dapatkan perhatian melalui status dan kandungan yang berbentuk infografik dan statistik.

Jenama-jenama ini sering menerima jumlah respon yang tinggi kerana maklumat yang mereka sediakan ini amat berguna yang tidak pernah dilihat di mana-mana. Penggunaan visual seperti statistik dan infografik ini amat-amat berkesan. Sekiranya anda tidak mempunyai komuniti yang besar yang mengikuti anda di laman sosial, anda perlu mempunyai kandungan yang berbentuk visual untuk memudahkan kandungan atau status anda menarik perhatian pembaca berhenti pada status anda ketika melayari media sosial berbanding status berbentuk tulisan.

Sebaliknya, kalau anda sudahpun mempunyai jumlah komuniti yang besar, status berbentuk penulisan juga mampu menarik perhatian mereka sama seperti kekuatan penggunaan visual.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti pandangan beliau di azleen.com