Kita kini berada di ambang tahun 2018, dan persaingan di luar sana amat sengit. Setiap hari, pasti ada syarikat-syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) yang tutup kedai kerana tidak lagi mampu bersaing. Punca utama ialah kerana nilai tawaran yang disediakan tidak mampu menarik pengguna untuk membeli produk atau perkhidmatan mereka.

Jadi, sudah tiba masanya untuk anda mula mengorak langkah, mengubah permai­nan digital anda agar nilai anda lebih terserlah di mata pengguna, lebih berimpak tinggi. Tanpa impak yang berkesan ke atas pengguna, mereka tidak akan tertarik untuk membeli. Tanpa pembeli, syarikat anda tidak akan mampu bertahan lama. Untuk mendapatkan pembeli secara dalam talian, taktik-taktik ini mampu me­ngubah permainan strategi kandungan digital anda.

Bercerita terlebih dahulu

Cuba anda lihat kembali status-status media sosial yang dimuat naik sebelum ini. Anda akan perasan yang status berbentuk penceritaan biasa­nya akan mempunyai daya tarikan yang tinggi. Jumlah orang yang Like, komen mahupun yang menekan butang Kongsi selalunya jauh lebih banyak berbanding status yang berbentuk promosi dan menjual. Sebagai manusia, kita semua akan tertarik dengan cerita. Jadi, jangan tergopoh-gapah menulis ayat untuk menjual semata-mata ketika menulis status media sosial. Gunakan kaedah bercerita dan tengok bagaimana kesannya selepas itu. Pastikan ia sedikit dramatik, menyentuh perasaan, bermanfaat dan mengajak orang untuk kongsikannya. Di peng­akhiran perenggan pada status tersebut, barulah anda tulis ayat yang sedikit menjual.

Kisah benar dan perkongsian petua ‘Bagaimana.’

Selain bercerita, anda juga boleh berkongsi tentang kisah benar dan juga petua atau How-To. Apabila anda berkongsi petua, ditambah pula yang berbau ala-ala rahsia, orang pasti tertarik untuk lebih menghebahkannya. Ini penting untuk proses penularan.

Gambar yang asli daripada anda

Cerita baik yang ditulis pasti akan menarik minat pembaca sekiranya anda selitkan beberapa gambar atau video yang sesuai dan menarik. Jangan sesekali ciplak mana-mana gambar dan video milik orang lain atau daripada Google. Orang akan tahu. Sebaliknya, gunakan gambar dan video yang asli daripada anda sendiri.

Bawa mereka ke laman web atau kaunter digital anda

Sebaiknya jangan terus-menerus biarkan pengguna lama-lama di laman media sosial anda. Letakkan pa­ut­an pada ayat terakhir status media sosial anda dan bawa mereka keluar dari sana ke laman web anda.

Mengapa? Kerana kita boleh menjual dengan lebih efektif lagi di laman web berbanding di media sosial. Di laman web, kita boleh meletakkan beberapa ‘perangkap’ untuk diklik yang akan membawa mereka ke bahagian produk atau perkhidmatan, kedai di­gital ataupun tempat yang mana borang tertentu boleh diisi untuk mereka singgah. Ini semua adalah kaunter digital anda.

Pautan, pautan dan pautan

Kalau lokasi merupakan faktor penting dalam industri hartanah, dalam pemasaran digital pula ialah pautan. Paut­an atau backlink perlu diletakkan pada perkataan dan ayat yang sesuai pada setiap artikel yang ditulis.

Ini adalah perangkap-pe­rangkap yang bakal membawa para pengunjung ke kedai digital anda, ke ruangan borang tertentu untuk mereka isi, ke e-mel mereka untuk memastikan mereka menghubungi anda melalui e-mel ataupun ke artikel-artikel lain dalam laman web anda. Kesemua ini hanya bagi memastikan mereka akan berada lebih lama dalam laman web kita.

Kitar semula kandungan digital anda

Anda akan bosan sekiranya makanan yang sama sahaja dihidangkan setiap hari bukan? Begitu juga dengan kandu­ngan media sosial anda. Jangan hanya sejenis sahaja. Pelbagaikan bentuk kandungan. Selain anda menulis artikel, gunakan artikel tadi sebagai bahan untuk anda bina infografik atau video misalnya. Ataupun daripada video, tukarkan persembahan tadi kepada bentuk penulisan artikel pula.

Guna Google+ sebagai media sosial anda

Memang betul, Google+ tidak begitu terkenal sebagai media sosial, tidak seperti Facebook ataupun Instagram. Tetapi Google+ ini penting untuk jenama anda dijumpai di internet. Anda akan dijumpai melalui penggunaan perkataan-perkataan yang se­ring anda gunakan sebagai keyword.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti pandangan beliau di azleen.com