Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai pengguna mendaftar bagi perkhidmatan berkenaan sejurus dilancarkan secara rasmi Disember ini.

Katanya, buat masa ini sebanyak tujuh buah bank telah memulakan inisiatif itu dan menawarkan perkhidmatan prapendaftaran kepada pelanggan mereka.

“Kami menjangkakan sebanyak 14 buah bank lagi akan menawarkan perkhidmatan DuitNow,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan DuitNow di sini hari ini.

DuitNow merupakan per­khid­­matan pembayaran elektronik baharu yang membolehkan pelanggan memindahkan wang dengan selamat dan serta-merta menggunakan nombor telefon penerima.

Menerusi DuitNow, pelanggan hanya perlu membuat pendaftaran sekali untuk meng­hubungkan nombor telefon bimbit mereka dengan nombor akaun bank bagi menerima pembayaran.

Tambah Schiesser, bermula Disember 2018, pelanggan boleh melakukan pembayaran dan pemindahan wang dengan me­ng­akses DuitNow di menu ‘Pindahan Dana’ daripada saluran perbankan internet dan mudah alih bank masing-masing.

“Pemindahan wang bernilai RM5,000 adalah percuma untuk semua pengguna dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Schiesser berkata, DuitNow bakal mengubah landskap pembayaran di Malaysia de­ngan menyediakan kemudahan, kecekapan dan ketersediaan dana segera 24 jam sehari. - UTUSAN ONLINE