Reader’s Digest yang juga antara majalah terkenal dunia menganjurkan acara tahunan itu sejak 21 tahun lepas bagi mengiktiraf jenama dan memiliki kualiti seperti integriti, jujur serta telus.

Kesemua 53 pemenang tersebut mewakili pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, produk penjagaan diri, pengendali khidmat penjagaan kesihatan, peralatan elektronik rumah, institusi kewangan serta pemaju hartanah.

Anugerah Platinum Jenama Paling Dipercayai itu diraih syarikat yang mendapat markah tinggi dalam kategori tersebut seperti Spritzer, Nescafe, (minyak masak) Knife, SK II, Canon, Samsung, Shell, DHL, Universiti Malaya dan Maybank.

Bagi anugerah emas pula, jenama cemerlang yang mengatasi saingan masing-masing adalah Pos Laju, CIMB, Petronas, Universiti Teknologi MARA, Amway Nutrilite, Apple, Honda, Toyota dan Starbucks.

Ketua Pengarang Reader’s Digest, Louise Waterson berkata, majalah itu amat menghargai usaha berterusan organisasi terbabit dalam membina jenama yang dipercayai oleh pengguna.

Katanya, selain mendapatkan dan mengekalkan kebolehpercayaan jenama, syarikat runcit dan penyedia perkhidmatan itu turut mengambil maklum mengenai kepentingan serta kuasa media sosial semasa dalam mempengaruhi keputusan pembelian pengguna.

“Berdasarkan keputusan kaji selidik Jenama Dipercayai bagi 2019, aspek kehadiran (jenama) yang dapat bertahan lama di pasaran terbukti menjadi perkara teras bagi mendapat serta menikmati kepercayaan pengguna.

“Malah, jenama yang terus menawarkan kualiti dan nilai sebenar terbukti terus mendapat kepercayaan kita,” katanya. - BERNAMA